arena

Nadal kembali berbisa

Oleh Reuters

ROME: Rafa Nadal kembali menguasai gelanggang tanah liat pada musim ini apabila merakam kemenangan 6-1, 6-0 ke atas pemain Bosnia, Damir Dzumhur untuk melangkah ke pusingan ketiga tenis Terbuka Itali, pagi tadi.

Pada masa sama, pemain pilihan keenam, Dominic Thiem menderita selepas ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan kedua.

Nadal, yang hilang status pemain nombor satu dunia selepas tumbang kepada Thiem di suku akhir Terbuka Madrid minggu lalu, kembali menemui sentuhan terbaiknya apabila mudah menundukkan Dzumhur.

“Ia sangat penting, selepas tewas di Madrid - kembali bangkit dengan begitu baik,” kata pemain berusia 31 tahun ini, yang meraih bye pada pusingan pembukaan. “Itulah yang saya lakukan hari ini,”

“Saya turun ke gelanggang dengan intensiti yang tepat. Saya tidak tahu berapa kali saya melakukan kesilapan, tetapi tidak banyak.

“Saya juga menguasai perlawanan, lebih atau kurang, ia bergantung kepada peratusan mata yang diraih. Itulah cara yang saya mahukan ketika beraksi di gelanggang,”

Pemain Sepanyol ini mampu merampas semula gelaran nombor satu dunia daripada Roger Federer jika dia mampu menjulang trofi kelapan di Rome, minggu ini.

Thiem, yang muncul naib juara di Madrid, Ahad lalu bergelut mendapat rentak sebelum tumbang 6-4,1-6, 6-3 kepada pemain nombor 21 dunia, Fabio Fognini.

Juara empat kali di Rome, Novak Djokovic, juga melangkah ke pusingan ketiga selepas merakam kemenangan 6-4, 6-2 ke atas pemain Georgia, Nikoloz Basilashvili.

Sementara itu, juara bertahan, Alexander Zverev turut mara hasil kemenangan 7-5 6-2 ke atas pemain wild card dari Itali, Matteo Berrettini.

Disiarkan pada: May 17, 2018 @ 11:09am
d