arena

The Cops tiada pertukaran pemain

Oleh Faizul Azlan Razak

Kuala Terengganu: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi bayangan tidak berlaku pertukaran pemain terutama membabitkan empat awang importnya pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Penolong ketua jurulatih, Mohd Fauzi Pilus berkata, setakat ini belum ada perbincangan dibuat dengan mana-mana pemain baru untuk dibawa masuk dalam pasukannya.

Katanya, pihaknya mungkin memberi peluang kepada Argzim Redzovic (Monternegro), Shunsuke Nakatake (Jepun), Shim Un-seob (Kores Selatan) dan Petrisor Voinea (Romania) hingga tamat musim ini.

“Setakat ini kita tidak mengadakan perbincangan dengan mana-mana pemain tempatan atau awang import sebaliknya mungkin menggunakan pemain sedia ada.

“Jika mahu melakukan pertukaran pemain import, kita bukan saja perlu mengeluarkan banyak kos, malah belum tentu pemain baru nanti dapat menyesuaikan diri dengan lebih cepat bersama pasukan,” katanya.

Mohd Fauzi berkata, pihaknya memuji persembahan awang import kelahiran Korea Selatan, Un-seob yang kini menjadi watak penting buat pasukannya dan pemain berkenaan bekerja keras dalam setiap perlawanan.

Katanya, diharapkan juga Voinea mampu mempamerkan prestasi sebenarnya dalam perlawanan seterusnya selepas sedikit keletihan ketika menewaskan Terengganu FC II (TFCII) 2-1, Isnin lalu.

“Penyerang kelahiran Romania ini tampak keletihan selepas menghabiskan masa dalam penerbangan pulang ke negaranya kerana isterinya melahirkan cahaya mata, namun dia tetap bersemangat beraksi membantu pasukan dan meraih kemenangan.

“Justeru, setakat ini barisan kejurulatihan masih berpuas hati dengan prestasi semua awang import sedia ada selain akan memberikan peluang kepada pemain simpanan mempamerkan kemampuan mereka,” katanya.

Disiarkan pada: May 17, 2018 @ 11:53am
d