arena

'Fajer, kenapa 'rehatkan' saya...'

Oleh Rodly Fadly

PEMAIN import Kelantan, Do Dong-hyun menganggap tindakan jurulatih, Fajer Ebrahim tidak membenarkan dia berlatih bersama pasukan itu sebagai tidak profesional memandangkan dia masih mempunyai kontrak sehingga penghujung musim ini.

Dong-hyun berkata, sehingga kini belum ada sebarang pengesahan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) mengenai kedudukannya walaupun dia dilaporkan tidak ada dalam perancangan jurulatih dari Syria itu.

“Setakat ini tidak ada sebarang pengesahan. Saya masih pemain Kelantan,” jawab Dong-hyun melalui WhatsApp apabila ditanya mengenai kedudukannya sekarang.

Bagaimanapun pemain Korea itu mengakui dia mendapat arahan Fajer agar tidak menyertai latihan bersama pasukan.

Difahamkan, Dong-hyun bersama beberapa orang pemain seperti Badhri Radhi, Morgaro Gomis, dan Amiridzwan Taj Tajuddin diarahkan menjalani latihan secara berasingan pada sebelah pagi berbanding pasukan Kelantan yang berlatih pada sebelah petang.

“Ia keputusan yang benar-benar tidak profesional daripada seorang jurulatih. Saya dapat membaca fikirannya mengenai apa yang cuba dilakukannya, tetapi saya tidak akan mengikut apa yang dia mahu,” ujar Dong-hyun tanpa mahu mengulas lanjut.

Dong-hyun meledak tiga gol ketika Kelantan menggalahkan Perak 3-2 dalam aksi Liga Super pada awal musim sehingga dinobatkan sebagai Pemain Terbaik PFAM-asiana.my bagi bulan Februari.

Namun, kehadiran Fajer pada pertengahan Mac lalu menyaksikan kedudukan Dong-hyun bersama beberapa pemain senior mula terancam dengan pendekatan drastik jurulatih itu yang mempertaruhkan pemain muda.

Kali terakhir bekas penyerang UITM FC itu menyarung jersi The Red Warriors adalah ketika seri 1-1 dengan Negeri Sembilan pada 14 April lalu.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan dalam satu kenyataan mengesahkan Dong-hyun bersama dua lagi import, Mohamed Ghaddar dan Gomis kini tidak lagi berada dalam pasukan yang dibentuk semula oleh Fajer.

Bibi turut membuka tawaran kepada pasukan lain yang berminat untuk mendapatkan khidmat ketiga-tiga pemain itu bersama beberapa pemain tempatan seperti Badhri, Amiridzwan dan S Veenod.

Disiarkan pada: May 17, 2018 @ 1:10pm
d