arena

Amutu, Nakajima 'senjata baharu' Pahang

Oleh Asrol Awang

DUA pemain import baharu skuad Pahang, Austin Amutu dan Issey Nakajima dituntut memberi impak besar bagi membantu memperkasakan skuad itu dalam saingan Liga Super.

Wakil kelab penyokong bola sepak Pahang, Mohd Jusri Abd Kadir berkata, dengan pengalaman dimiliki dua pemain itu dalam saingan Liga Malaysia sebelum ini, mereka perlu memberi aura positif kepada skuad berkenaan.

“Sebaik saingan liga bersambung, segala perhatian akan bertumpu kepada corak permainan Amutu dan Nakajima kerana masing-masing diharap dapat menambah bisa di bahagian serangan dan tengah pasukan.

“Sudah pasti Amutu akan dibandingkan dengan Francis Forkey Doe yang sebelum ini cemerlang sebagai penjaring apabila bergandingan dengan Patrick Cruz. Bagi Nakajima pula, jentera tengah amat memerlukan seorang pemain berpengalaman untuk memastikan kehadirannya menggantikan Chan Vathanaka adalah tepat,” katanya.

Mohd Jusri yang juga Pengerusi Kelab Bolasepak Laksamana Tok Gajah berkata, sebaik saingan Liga Super kembali beraksi minggu depan, skuad kendalian Dollah Salleh diharap kembali mencatat kemenangan.

Katanya, kekalahan 0-1 kepada Terengganu FC (TFC) pada 11 Mei lalu, perlu ditebus dengan kemenangan apabila bertemu Kedah, 22 Mei ini.

“Hanya kemenangan akan meletakkan Pahang pada kedudukan lebih baik terutama merapatkan jurang mata dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) selaku pendahulu liga ketika ini,” katanya.

Isnin lalu, skuad Tok Gajah mengesahkan Amutu, 23, dan Nakajima, 34, menjadi nadi baharu skuad itu bagi menghadapi baki saingan Liga Super. Selepas 10 perlawanan, Pahang menduduki tangga ketiga dengan mengutip 18 mata manakala Johor Darul Ta’zim (JDT) selesa sebagai peneraju liga dengan 25 mata dan Perak pula 20 mata di tangga kedua.

Disiarkan pada: May 17, 2018 @ 3:42pm
d