arena

'Saya menyesal gagal 'lamar' Ronaldo'

Oleh Reuters

LONDON: Pengurus Arsenal, Arsene Wenger, 68, mengakui kegagalan mendapatkan khidmat Cristiano Ronaldo adalah detik paling dikesalkan sepanjang 22 tahun mengendalikan kelab Liga Perdana Inggeris itu.

Wenger berjaya menandatangani beberapa pemain ternama seperti Thierry Henry, Robert Pires, Cesc Fabregas dan Mesut Ozil tetapi Gunners kalah dalam persaingan mendapatkan Ronaldo selepas pemain itu memilih Manchester United pada 2003.

Ronaldo kemudiannya membantu United menjuarai tiga kejuaraan liga, Piala FA dan Liga Juara-Juara sebelum berpindah ke Real Madrid pada 2009.

"Jelas, pemain yang menghantui minda saya ketika ini ialah Ronaldo,” kata Wenger dalam laman web https://www.arsenal.com.

"Dia datang ke sini bersama ibunya dan kami sangat rapat. Selepas itu United yang dibimbing Carlos Queiroz ‘kacau daun’. United menentang Sporting Lisbon dan Ronaldo beraksi cemerlang. Mereka tanpa bertangguh membelinya.

"Cuba anda bayangkan jika Thierry Henry dan Ronaldo berganding bersama ketika itu. Sudah pasti sejarah saya bersama kelab ini berubah,” katanya.

Wenger mendedahkan kelab utara London itu tidak mampu menyaingi tawaran £12 juta (RM64.30 juta) United kepada bintang Portugal itu.

Beliau yang akan meninggalkan Arsenal mengendalikan pasukan kali ke- 1,235 dan terakhir ketika menang 1-0 ke Huddersfield Town, Ahad lalu. - Reuters

Disiarkan pada: May 17, 2018 @ 5:18pm
d