arena

MHC bida tuan rumah Piala Dunia 2022

Oleh Saiful Affendy Sapran

MALAYSIA berhasrat untuk menganjurkan Piala Dunia Hoki lelaki dan wanita untuk edisi 2022.

 Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal berkata, ia adalah perkara yang menjadi pertimbangan serius badan induk itu ketika ini selepas Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) menawarkan Malaysia untuk menjadi tuan rumah kepada Final Siri Hoki Dunia, iaitu kempen kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

 "Saya akan dapatkan persetujuan daripada mesyuarat Lembaga Eksekutif pada 2 Jun. Jika semua bersetuju, maka kita akan anjurkan Final Siri Hoki Dunia di Kuala Lumpur, Jun tahun depan.

 "Selepas membincangkan perkara ini, timbul pula idea untuk menganjurkan Piala Dunia 2022.

  "Saya sudah bercakap dengan Terry Walsh (Pengarah Teknikal) mengenai perkara ini. Jika perlu, kita akan kemukakan permohonan rasmi kepada FIH untuk menyatakan hasrat berminat menjadi tuan rumah kepada Piala Dunia 2022," katanya pada sidang media hari ini.

 Jelas Subahan, sekiranya itu menjadi kenyataan, maka Malaysia akan menganjurkan Piala Dunia buat kali pertama dalam tempoh 20 tahun selepas kali terakhir menganjurkannya pada 2002.

 "Pasukan wanita juga bakal mencipta sejarah beraksi kali pertama di Piala Dunia.

 "Selain kemampuan kedua-dua pasukan lelaki dan wanita, saya yakin kami juga mempunyai kemampuan untuk menganjurkan Piala Dunia," katanya.

 Sementara itu, pada sidang media hari ini juga, ketua jurulatih skuad hoki lelaki, Stephen Van Huizen mengumumkan senarai 20 pemain yang terpilih untuk perlawanan persahabatan dengan Argentina dari 25 Mei hingga 2 Jun depan.

 Stephen menyenaraikan semula penjaga gol utama negara, S Kumar buat kali pertama selepas dia bebas daripada hukuman penggantungan sementara dari FIH selepas positif menggunakan bahan terlarang sibutramine ketika saingan Piala Asia di Dhaka, Bangladesh tahun lalu.

 "Kumar sangat bekerja keras ketika sesi latihan dan atas faktor itu saya fikir peluang layak diberikan kepadanya," katanya. 

Disiarkan pada: May 17, 2018 @ 5:26pm
d