arena

Jadikan 'ngauman' Harimau Malaya sebagai KPI

Oleh Zulfaizan Mansor

SIAPA saja yang bakal dipilih sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas kongres ke-54 badan induk itu pada 14 Julai ini wajib meletakkan kemajuan skuad kebangsaan sebagai agenda paling utama.

Apa tidaknya, ‘ngauman’ skuad Harimau Malaya sentiasa menjadi Penunjuk Prestasi Utama (KPI) buat mana-mana Presiden FAM berbanding pencapaian skuad lain termasuk Bawah 23 (B-23) tahun, B-19 dan juga skuad futsal.

Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan perkara berkenaan adalah hakikat sebenar yang perlu diterima siapa saja bakal mengisi kerusi panas itu nanti.

“Dalam pengurusan FAM, sesiapa saja yang memikul tugas presiden, cabaran utama mereka adalah meletakkan skuad kebangsaan di peringkat paling tinggi.

“Ia kerana kalau skuad kebangsaan gagal, maka orang akan anggap presiden itu juga gagal walaupun beberapa kejayaan lain dalam skuad B-23 dan B-19 atau futsal dicapai.

“Orang hanya akan melihat kepada pencapaian skuad senior kebangsaan, jadi itu yang perlu diberi fokus sepenuhnya oleh presiden baharu nanti selain pembangunan di peringkat skuad muda,” katanya.

Sehingga kini, tiga calon termasuk Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dan Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Zabidi serta bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa sah mendapat pencalonan daripada ahli gabungan.

Melihat kepada laporan sebelum ini, banyak pihak memilih Hamidin sebagai individu yang paling layak mengisi kekosongan ditinggalkan Tunku Ismail Sultan Ibrahim berdasarkan pengalaman lebih 20 tahun terbabit arena bola sepak.

Selain itu, Yusoff turut mengesahkan pihaknya akan menghantar surat penerimaan pencalonan kepada semua calon dalam masa terdekat bagi membolehkan mereka membuat keputusan sama ada menerima atau menolak pencalonan nama mereka.

“Ia prosedur biasa dan calon perlu mengesahkan menerima atau menolak pencalonan mereka untuk membolehkan kelancaran pemilihan nanti. Mungkin minggu depan kita akan hantar surat penerimaan pencalonan. 

“Kalau tanya saya sudah pasti saya kekal dengan pendirian sebelum ini yang mana berharap tiada pertandingan berlangsung dalam perebutan jawatan presiden kali ini.

“Bagi saya, Hamidin sememangnya individu paling layak dan bola sepak sudah sebati dalam diri beliau. Malah, jika ikut 18 pencalonan yang diterima juga, beliau mungkin sukar dicabar calon lain,” katanya.

Disiarkan pada: May 18, 2018 @ 5:17pm
d