arena

Peluang kedua Maniam

Oleh Syafiq Aznan

SPEKULASI mengenai masa depan jurulatih Selangor yang direhatkan, P Maniam akhirnya terjawab apabila dia beroleh 'peluang kedua' selepas dilantik selaku Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).

Perkembangan itu dimaklumkan Maniam selepas selesai melakukan perbincangan bersama persatuan itu, hari ini dengan dia kini akan memulakan tugas dengan memantau kemajuan skuad Piala Presiden dan juga skuad Bawah 19 tahun (B-19) The Red Giants.

Katanya, dia juga berpuas hati dengan penyelesaian ditawarkan FAS sekali gus jelas dengan statusnya bersama pasukan itu sejak mula 'goyang kaki' susulan direhatkan dari jawatan jurulatih dua bulan lalu.

"Saya menerima tawaran FAS untuk menjadi Pengarah Teknikal dan saya kira ini adalah penyelesaian yang terbaik mengenai kedudukan saya dalam pasukan. Buat masa ini, ini langkah yang perlu saya ambil dan saya akan komited terhadap tugas baharu saya.

"Apapun, bidang kejurulatihan tetap ada dalam diri saya dan jika ada peluang mengendalikan mana-mana pasukan pada musim hadapan atau ada pasukan yang berminat dengan khidmat saya, mungkin saya akan mempertimbangkannya,"  katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada 14 Mac lalu, FAS mengambil keputusan drastik untuk merehatkan bekas jurulatih Air Asia FC itu berkuatkuasa serta-merta selepas skuad Merah Kuning ketika itu dilanda tiga kekalahan berturut-turut dalam Liga Super dan tergelincir ke kelompok bawahan liga.

Naib presidennya, Datuk Abdul Rauf Ahmad menegaskan keputusan itu terpaksa diambil selepas penilaian menyeluruh dibuat mengenai kemerosotan prestasi pasukan dalam beberapa aksi sekali gus menyaksikan pasukan dikendalikan pembantu jurulatih, Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir selaku pemangku.

Bagaimanapun, masa depan Maniam sama ada terus bersama pasukan itu ataupun tidak menjadi tanda tanya apabila FAS mengambil keputusan untuk 'menaikkan pangkat' Muhammad Nazliazmi selaku jurulatih pasukan pada 3 April lalu.

Disiarkan pada: May 18, 2018 @ 6:06pm
d