arena

Neuer kembali beraksi

Oleh Agensi

MANUEL Neuer disenaraikan dalam skuad Bayern Munich untuk aksi final Piala Jerman menentang Eintracht Frankfurt, esok dan akan diletakkan di bangku simpanan, kata jurulatih Jupp Heynckes, hari ini.

Penjaga gol berusia 32 tahun itu yang dinamakan dalam skuad awal Piala Dunia Jerman, tidak beraksi sejak mengalami keretakan kaki pada September lalu sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap peluangnya beraksi di Russia.

“Dia menjalani latihan dengan baik dan berada dalam keadaan terbaik. Manuel sudah pasti tiada masalah (untuk beraksi). Secara fizikalnya dia begitu cergas,” kata Heynckes.

“Tetapi dia tidak akan bermain daripada mula.”

Neuer yang memenangi Piala Dunia 2014 dan sudah lapan tahun menjadi penjaga gol utama Jerman, berlumba untuk kembali cergas dan mula menjalani latihan minggu ini.

Pengendali Jerman, Joachim Loew berkata awal minggu ini betapa Neuer tidak mempunyai peluang untuk menempatkan diri dalam senarai akhir ke Russia bulan depan tanpa aksi kompetitif secukupnya, namun Heynckes tetap yakin.

“Kehadiran Manuel begitu penting. Anda tidak boleh membandingkannya dengan penjaga gol lain. Negara akan lebih tenang dengannya,” tambah Heynckes.

 

 

Disiarkan pada: May 18, 2018 @ 10:20pm
d