arena

Perubahan format, peraturan badminton

Oleh Fabian Peter

JIKA Persekutuan Badminton Dunia (BWF) memutuskan untuk melakukan perubahan tertentu terhadap format permainannya, ia mungkin akan mula digunakan pada Disember ini.

Majlis badan induk itu dijadual berjumpa, esok di sini bagi Mesyuarat Agung Tahunan sempena pusingan akhir Piala Thomas dan Piala Uber 2018.

Sumber rapat kepada badan induk itu mendedahkan tiada sebarang keputusan sudah diputuskan dan ia bergantung terhadap kesemua 189 delegasi.

Antara perubahan yang dicadangkan ialah sistem pemarkahan menggunakan 11 mata membabitkan lima set.

Pemain-pemain terkemuka termasuk bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei menyuarakan sokongan terhadap format baharu berkenaan yang akan menggantikan sistem 21 mata dan tiga set.

Perubahan lain yang dirancang ialah pengurangan pembabitan jurulatih di luar gelanggang dan pengenalan masa rehat.

Difahamkan, sesetengah perubahan itu dilakukan bagi mengelak pembaziran masa yang menjadi taktik segelintir pemain dan jurulatih.

Presiden BWF, Poul-Erik Hoyer, dalam satu kenyataan berkata: “Ini akan menjadi perjumpaan yang penting dengan beberapa perkara yang mustahak perlu diputuskan. 

“Sasaran terhadap cadangan ini adalah untuk menjadikan badminton lebih menarik dengan mewujudkan lebih banyak aksi dalam perlawanan.”

Para perwakilan juga akan memutuskan peraturan servis baharu, yang jelas menunjukkan ketinggian yang diluluskan, untuk meningkatkan tahap konsisten pengadil servis.

Piala Thomas dan Piala Uber akan berlangsung, Ahad ini di IMPACT Arena di sini di Muang Thong Thani.

Disiarkan pada: May 19, 2018 @ 1:19am
d