arena

Nadal, Djokovic jumpa lagi

ROME: Novak Djokovic menempah pertembungan separuh akhir Terbuka Itali menentang seteru lamanya, Rafael Nadal selepas kedua-dua bekas pemain nombor satu dunia itu bangkit pada saingan lapan terakhir, awal pagi tadi.

Pemain Serbia itu bangkit menewaskan Kei Nishikori 2-6, 6-1, 6-3 manakala pilihan utama Nadal meneruskan dominasi di gelanggang tanah liat dengan kemenangan 4-6, 6-1, 6-2 mengatasi pemain Itali, Fabio Fognini.

Djokovic, diletakkan sebagai pilihan ke-11 selepas masalah siku dialaminya, menewaskan pemain utama Jepun itu buat kali ke-12 berturut-turut.

“Ia perlawanan menakjubkan, kami saling berbalas hingga pukulan terakhir. Dia memulakannya dan sangat bagus hingga penamat,” kata Djokovic yang akan berdepan Nadal buat kali ke-51 dan memegang kelebihan tipis 26-24.

Nadal menewaskan Djokovic pada pertembungan terakhir mereka pada Mei 2017 di separuh akhir Madrid dan pemain Serbia itu akan membalas dendam selepas menang tujuh kali berturut-turut sebelum itu.

 

“Kita akan lihat esok. Saya tidak banyak bermain sejak enam bulan lalu,” kata Djokovic yang mara ke separuh akhir buat kali terakhir di Eastbourne pada Wimbledon 2017.

“Secara fizikal saya OK. Saya hanya perlu sedikit rehat dan kemudian bermain dan memberikan semua yang saya ada.”

Pilihan kedua, Nadal perlu meningkatkan permainannya untuk meraih gelaran kelapan di Foro Italico esok dan kembali ke kedudukan teratas dunia selepas Roger Federer mengambil alih kedudukan itu minggu lalu. - AFP

Disiarkan pada: May 19, 2018 @ 6:57am
d