arena

Hijrah Pok Nik, PKNS intai Guerra

Oleh Zulfaizan Mansor

PKNS FC mengikat tonggak pertahanan Kelantan, Nik Shahrul Azim Abdul Halim dalam usaha memperkuatkan skuad itu bagi meneruskan saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Perkara itu disahkan kelab Lembah Klang berkenaan, malam tadi dengan majlis menandatangani kontrak berlangsung di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya.

Malah, berita penghijrahan Nik Shahrul turut disahkan Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan menerusi Facebook miliknya.

“Nik Shahrul Azim dilepaskan untuk bersama pasukan PKNS. Terima kasih atas segala-galanya, demi masa depan beliau. Terima kasih kepada pihak pengurusan PKNS,” kata Bibi Ramjani.

Pok Nik adalah pemain senior terbaru dilepaskan Kelantan selepas beberapa tonggak berpengalaman termasuk Norfarhan Mohamad dan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat meninggalkan pasukan Pantai Timur itu sebelum ini.

Kekangan kewangan dikatakan menjadi punca KAFA terpaksa melepaskan beberapa pemain bintang mereka, namun langkah The Red Warriors (TRW) menggunakan hampir 90 peratus pemain muda untuk bersaing dalam Liga M mendapat pujian daripada banyak pihak.

Selain itu, pengurus pasukan PKNS, Mahfizul Rusydin Abd Rashid mengesahkan kelab berkenaan juga sedang berusaha membawa kembali bekas penyerang mereka, Gabriel Guerra untuk menyarung jersi Semut Merah.

“Bagi jendela perpindahan kedua ini, kita melihat kepada beberapa pilihan bagi memperkuatkan pasukan dengan cara mencari pemain yang boleh memberi impak dan salah seorangnya adalah Guerra.

“Guerra pernah beraksi di sini dan memahami senario bola sepak Malaysia, jadi risiko itu minimum sekiranya kita mengambil dia,” katanya.

Disiarkan pada: May 19, 2018 @ 11:41am
d