arena

Buffon tinggalkan Juventus

Oleh AFP

LEGENDA Itali, Gianluigi Buffon membuat penampilan terakhirnya di Juventus sekali gus menutup karier 17 tahun bersama gergasi Turin itu dengan kemenangan 2-1 ke atas pasukan yang tersingkir Verona, sebentar tadi.

Buffon yang mengetuai Juventus meraih gelaran Serie A ketujuh dan Piala Itali keempat berturut-turut bermain sehingga pertengahan babak kedua.

Ia adalah kemunculan ke-656 penjaga gol berusia 40 tahun itu yang tiba ke Turin pada 2001 daripada Parma dengan rekod perpindahan 52 juta euro (RM243.53 juta).

Kapten itu digantikan oleh jurulatih Massimiliano Allegri pada minit ke-63 untuk menerima penghormatan 40,000 penyokong Juventus yang menangisi pemergian bintang veteran berkenaan.

Skuad yang diberi jolokan Old Lady selesa mendahului dua gol hasil sumbangan Daniele Rugani pada minit ke-49 dan Miralem Pjanic tiga minit selepas Buffon digantikan.

Dia memeluk semua rakan sepasukannya di dalam padang mahupun di bangku simpanan, dan kemudiannya meninggalkan padang.

Penjaga gol Carlo Pinsoglio yang masuk menggantikan Buffon membuat penampilan sulungnya di Serie A, tetapi Alesio Cerci merapatkan jurang buat pelawat pada minit ke-76 untuk menafikan pemburuan rekod 23 perlawanan tanpa bolos Juventus.

Buffon berkata dia tidak mahu apa-apa layanan istimewa untuk penampilan terakhirnya ini.

“Saya mahu mengharungi hari ini secara normal. Saya tidak meminta apapun kecuali apa yang sudah dimiliki iaitu harga diri, rasa hormat dan kasih sayang.

“Selebihnya tidak perlu kerana sejak daripada zaman kanak-kanak saya tidak suka menyambut sambutan hari lahir dan tidak suka diberi perhatian,” kata Buffon.

Sambutan wira itu sebenarnya bermula sejak kali pertama dia melangkah masuk ke padang apabila penyokong Juventus memberi tepukan gemuruh dan menyanyi.

Buffon menuju ke dalam padang ditemani tiga anaknya dengan mendukung anak bongsunya Leopaldo yang dipimpin teman wanitanya Ilaria D’Amico sementara Louis Thomas dan David Lee pula dipimpin bekas isterinya Alena Seredova.

“Terdapat hanya satu nombor 1, terdapat hanya satu nombor 1,” antara lagu yang dinyanyikan sebelum sepak mula tatkala Buffon memeluk satu demi satu rakan sepasukannya.

Di sebelah ruang tempat duduk selatan pula, penyokong Juventus membentangkan banting dengan frasa: “Hanya mereka yang mencuba mencapai sesuatu yang mustahil.”

 

 

Disiarkan pada: May 20, 2018 @ 2:32am
d