arena

Bale buat Zidane kagum

Oleh Reuters

MADRID: Jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane memuji persembahan Gareth Bale yang menyumbang jaringan ketika seri 2-2 di Villarreal, awal pagi tadi tetapi mengatakan beliau tidak menguji penyerang Wales itu untuk aksi final Liga Juara-Juara.

Zidane melakukan penggiliran pemain untuk memastikan pasukannya kekal mantap bagi final menentang Liverpool pada 26 Mei ini, tetapi menyenaraikan kesebelasan utama terkuat ketika perlawanan La Liga terakhir mereka.

Walaupun merehatkan penjaga gol, Keylor Navas untuk memberi penampilan pertama buat anaknya, Luca, Zidane menggandingkan Bale bersama Cristiano Ronaldo dengan mengorbankan Karim Benzema.

Bale sudah enam kali tidak tersenarai dalam skuad utama Real di peringkat kalah mati Liga Juara-Juara tetapi menunjukkan keyakinan untuk diturunkan dalam kesebelasan utama menentang Liverpool selepas meledak empat gol dalam tiga perlawanan terakhir liga.

“Dia tidak pernah putus asa dan sekarang dia menjaringkan banyak gol. Saya sangat gembira dengan sumbangannya dalam pasukan ketika ini dan apa yang dilakukan untuk kami,” kata Zidane kepada pemberita.

“Tiada apa yang berubah dalam dirinya, jika ada perbezaan pun adalah cara dia menjaringkan gol.”

Bale bergelut dengan siri kecederaan otot dalam pusingan pertama kempen musim ini dan hanya beraksi lima perlawanan La Liga hingga Januari.

Zidane, bagaimanapun menjelaskan kesebelasan utama berdepan Villarreal tidak memberi sebarang petunjuk mengenai apa yang pasukannya akan tampilkan berdepan skuad Juergen Klopp di Kiev, yang mana Real mensasarkan menjadi pasukan pertama selepas Bayern Munich pada 1976 untuk memenangi Piala Eropah tiga kali berturut-turut.

“Kami bersedia dan paling penting kami tidak berdepan sebarang masalah kecederaan. Kami bersedia untuk beraksi di final, saya tidak bercakap mengenai formasi atau perancangan pasukan,” katanya.

 

 

Disiarkan pada: May 20, 2018 @ 8:40am
d