arena

Laluan ke Olimpik lebih mencabar

Oleh Azlan Muhammad Zain

BARISAN pelumba trek negara dijangka berdepan tugas lebih mencabar untuk menempah tiket ke Sukan Olimpik 2020.

Menerusi peraturan kelayakan Olimpik Tokyo yang dikeluarkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), tiada lagi agihan atau kuota mengikut benua seperti yang diamalkan sebelum ini.

Ia turut disahkan Pengurus Sukan Berbasikal bagi Program Podium, Mohd Izham Mohamad yang melihatnya sebagai sesuatu yang mencabar namun tidak mustahil untuk pelumba Malaysia meraih tiket ke Olimpik Tokyo.

“Kali ini tiada lagi kuota benua seperti diamalkan pada kelayakan Olimpik yang lalu. Ia lebih mencabar namun tidak mustahil untuk dicapai.

“Kita akan berusaha melayakkan seramai mungkin pelumba negara ke temasya berkenaan namun tumpuan utama sudah pasti dalam acara pecut lelaki yang diketuai Azizulhasni Awang,” katanya.

UCI bakal mewujudkan ranking Olimpik menerusi kejohanan tertentu dalam masa terdekat dalam menentukan kedudukan pelumba yang bersaing ke Tokyo.

Bagi acara pecut berpasukan, lapan pasukan terbaik dalam ranking Olimpik tanpa mengira benua akan layak secara automatik selain mendapat dua tiket tambahan untuk keirin dan pecut individu.

“Ia sudah pasti sesuatu yang mencabar. Kita perlu mewujudkan sebuah pasukan pecut yang mampu mencabar di pentas dunia sekiranya mahu layak menerusi cara ini. Namun saya percaya ketua jurulatih negara, John Beasley sudah pasti mempunyai perancangan tersendiri,” katanya.

Selain kelayakan menerusi kelayakan berpasukan, tujuh pelumba terbaik bagi keirin dan pecut individu (ditolak lapan negara yang layak menerusi pecut berpasukan) turut layak ke Tokyo menerusi tiket individu.

Skuad berbasikal trek negara melakar sejarah tersendiri pada Olimpik Rio 2016 apabila menyumbang pingat buat kali pertama dalam sejarah sukan negara menerusi Azizulhasni yang meraih gangsa.

Disiarkan pada: May 20, 2018 @ 7:03pm
d