arena

PSG tak berminat

Oleh AFP

PRESIDEN Paris Saint-Germain (PSG), Nasser Al-Khelaifi menolak kemungkinan legenda Juventus Gianluigi Buffon bakal menggantikan penjaga gol nombor satu kelab gergasi Perancis itu, Alphonse Areola.

Buffon, 40, membuat penampilan terakhir ketika gergasi Itali itu mencatat kemenangan 2-1 ke atas Verona semalam, untuk melengkapkan karier 17 tahun di Turin dengan menuai trofi Serie A ketujuh berturut-turut.

Kontrak Buffon akan tamat pada bila-bila masa, tetapi ditanya sama ada PSG bakal menjadi destinasi ditujui Buffon, Al-Khelaifi memberitahu: “Kami mempunyai Areola, dia adalah penjaga gol nombor satu kami.”

Apabila kemudiannya ditanya sama ada Areola akan kekal pada musim depan, Al-Khelaifi berkata: “Ya, sudah pasti.”

“Dia (Buffon) adalah penjaga gol yang hebat, amat berkarisma dan seorang lelaki yang luar biasa. Saya pasti semua kelab inginkannya.”

Areola, semalam menyuarakan perasaannya mengenai situasi berkenaan apabila memberitahu akhbar Le Parisien bahawa dia ‘mahu kekal sebagai nombor satu’ di PSG dan akan meninggalkan kelab jika sebaliknya berlaku pada musim depan.

Kontrak penjaga gol berusia 25 tahun kelahiran Perancis itu hanya akan tamat pada Jun 2019.

PSG, yang mengekalkan penguasaan Ligue 1 bulan ini, akan diambil alih oleh jurulatih Thomas Tuchel pada musim depan yang menggantikan Unai Emery.

Disiarkan pada: May 20, 2018 @ 9:11pm
d