arena

Bukan satu beban: Ziyad

Oleh Mohd Khairie Khalid

JAGUH paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli tidak menganggap sesi latihan pada bulan Ramadan sebagai satu bebanan berikutan sudah biasa dengan rutin berkenaan.

Pemenang pingat emas Paralimpik 2016 Rio itu ketika ini gigih menjalani latihan selepas dijadual menyertai Sukan Para Asia 2018 di Jakarta, Indonesia, Oktober ini sekalipun baru pulih daripada kecederaan belakang yang dialami pada Februari lalu.

“Pada bulan puasa, saya berlatih pada waktu petang pada jam 4.30 hingga 6.30 petang. Saya kemudian meneruskannya di sebelah malam (9 hingga 11 malam).

“Masa latihan tetap sama seperti bukan waktu berpuasa kerana saya sudah biasa. Sudah lapan tahun dalam bidang ini, jadi saya boleh sesuaikan diri, kawal penggunaan tenaga walaupun puasa dan berlatih.

“Tidak ada alasan buat saya untuk mengelak, tapi dalam masa sama saya tak mahu bagi banyak tekanan kerana tidak mahu kecederaan semakin teruk,” kata Ziyad ketika dihubungi, hari ini.

Dintanya mengenai sasarannya di Indonesia, atlet berusia 28 tahun itu menjelaskan dia berhasrat mempertahankan pingat emas acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran) yang dimenangi pada temasya sama di Incheon, Korea Selatan pada 2014.

“Saya berhasrat mempertahankan pingat emas serta mencipta catatan yang terbaik pada penampilan kedua di Sukan Para Asia,” kata Ziyad yang mencatat rekod dunia lontar peluru F20 dengan jarak 17.29 meter (m) dalam Kejohanan Olahraga Para Dunia di London  pada 2017.

Mac lalu, Ziyad memenangi pingat emas acara lontar peluru lelaki kategori campuran F13/20/46 dengan catatan 16.42m pada Kejohanan Olahraga Antarabangsa Fazza ke-10 - Grand Prix Olahraga Para Dunia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu.

Pada aksi Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia minggu lalu, Ziyad yang bertanding bersama atlet normal meraih pingat gangsa dengan balingan sejauh 15.68m.

Disiarkan pada: May 20, 2018 @ 9:36pm
d