arena

'Jual Hazard, beli pemain lain'

Oleh Agensi

LONDON: Chelsea perlu menjual penyerang, Eden Hazard bagi membolehkan kelab membeli pemain lain, menurut bekas penolong jurulatih, Steve Clarke.

Hazard, 27, muncul wira ketika Blues menewaskan Manchester United 1-0 dalam aksi final Piala FA di Wembley, Sabtu lalu.

Bagaimanapun, kelab itu hanya mampu menduduki tangga kelima liga sekali gus gagal mencuri slot ke Liga Juara-juara musim depan dan Clarke memberitahu BBC Radio 5, mereka perlu membina semula kelab itu pada musim panas ini.

Penjaga gol, Thibaut Courtois turut mendesak pihak pengurusan membuat pelaburan demi kebaikan kelab.

"Kita tunggu selepas Piala Dunia. Adakah saya masih kekal di sini untuk musim depan,” kata pemain Belgium berusia 26 tahun itu yang kontraknya di Stamford Bridge tamat pada musim panas depan.

"Anda tengok Manchester City dan Manchester United berbelanja besar dan terbukti menjadi. Jika kami mahu berjaya seperti itu, kami perlu melakukan perkara sama,” katanya.

Hazard yang kontraknya berbaki dua tahun menyertai Chelsea daripada Lille pada 2012 dan muncul Pemain Terbaik Tahunan ketika mereka muncul juara liga pada 2015.

Tetapi Clarke, bekas pertahanan Chelsea dan pembantu pengurus pada 2004 sehingga 2008 menganggap sangat tepat jika pemain Belgium itu meninggalkan Stamford Bridge pada musim panas ini.

"Anda perlu selalu mencari jalan menggantikan pemain,” kata Clarke yang kini pengurus kelab Liga Perdana Scotland, Kilmarnock.

"Mereka datang dan pergi. Kelab adalah perkara paling penting. Mereka perlu membina semula pasukan ini. Banyak perkara perlu dilakukan pada musim panas ini.”

“Salah satu cara ialah menjual Hazard untuk mendapatkan dana membeli pemain lain,” kata Clarke. - Agensi

Disiarkan pada: May 21, 2018 @ 11:11am
d