arena

Singkir pasukan degil!

Oleh Syafiq Aznan

LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) tidak menolak kemungkinan adanya pasukan yang akan menerima nasib sama dengan FELDA United apabila 'ditendang keluar' daripada saingan Liga Malaysia (Liga M) pada musim akan datang.

Ia selepas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam menjangkakan masalah kegagalan pasukan untuk mendapatkan lesen kelab akan terus berlaku selepas ini meskipun pihaknya sudah bekerja keras dalam memberi peringatan kepada setiap pasukan bertanding dalam kancah bola sepak tempatan.

Katanya, kedegilan pengurusan yang masih lagi berada pada takuk lama dilihat menjadi punca kegagalan segelintir pasukan melengkapkan pendaftaran sekali gus 'berputih mata' apabila terpaksa diturunkan satu divisyen daripada saingan sepatutnya disertai mereka.

"Berhubung pelesenan kelab, kita sudah memiliki perancangan tersendiri dan matlamat ingin kita raih. Ini sebenarnya membabitkan pelbagai proses jadi biarkan pelesenan kelab ini mengikut aturannya satu demi satu sehinggalah ia menunjukkan kesannya nanti.

"Jadi kami jangka sudah tentu akan ada pasukan masih gagal melengkapkan pendaftaran pasukan sekurang-kurangnya untuk tiga tahun akan datang. Penyingkiran akan tetap dilakukan jadi inilah yang harus kita hadapi untuk melangkah ke era lebih profesional.

"Untuk itu, pengurusan yang masih berada di takuk lama seharusnya bangkit untuk mengikut era pengurusan moden dan mematuhi peraturan sudah ditetapkan. Jika mereka mengikut garis panduan, sudah tentu masalah sebegini tidak akan berlaku," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini, badan pengendali bola sepak itu mengesahkan semua pasukan yang beraksi dalam Liga Super perlu melengkapkan pendaftaran dan dokumen untuk memperolehi lesen kelab bagi bertanding dalam saingan Liga Super musim ini.

Situasi ini sekali gus menyaksikan kegagalan pasukan FELDA United mendapatkan lesen kelab menyebabkan mereka terpaksa 'disingkirkan' ke saingan Liga Perdana pada musim ini.

Bagi pasukan yang beraksi dalam Liga Perdana pula, penguatkuasaan lesen kelab akan dilaksanakan bermula musim 2019 dan mereka perlu melengkapkan proses diperlukan bagi memperolehi lesen untuk bertanding bagi musim 2020.

Sebagai rekod, setiap pasukan yang memohon lesen kelab perlu melepasi penilaian dibuat ke atas enam kriteria utama iaitu kesukanan, infrastruktur, pentadbiran, perundangan, kewangan dan perniagaan seperti termaktub dalam Peraturan Pelesenan Kelab Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Edisi 2017.

Disiarkan pada: May 21, 2018 @ 1:40pm
d