arena

'Elak kesilapan berulang...'

Oleh Rodly Fadly

PENYERANG Kuala Lumpur, Zaquan Adha Radzak yakin mereka sudah belajar daripada kekalahan 2-4 kepada Kelantan di Kota Bharu, dua minggu lalu dan tidak akan mengulangi kesilapan serupa apabila berdepan lawan sama di Stadium PBKL, Cheras, malam esok.

Zaquan mengakui sikap mengambil mudah atas kemampuan skuad muda The Red Warriors pada pertemuan itu membawa padah namun menganggap ia pengajaran sangat berguna kepada City Boys.

“Kami tidak patut kalah dalam perlawanan itu tapi ia berlaku kerana kesilapan kami sendiri yang terlampau mengambil mudah, mungkin kerana memandang rendah Kelantan yang hanya dibarisi pemain muda.

“Kami akan pastikan ia tidak akan berulang pada perlawanan malam esok. Kami sudah belajar serta mahu menebus kekalahan itu,” katanya.

Tanpa dibelenggu masalah kecederaan mahupun penggantungan, Fabio Maciel dijangka mempertaruhkan barisan terbaiknya bagi mengelak diaibkan sekali lagi oleh anak buah Fajer Ebrahim.

Namun, Zaquan menegaskan, ia bukanlah perlawanan membalas dendam sebaliknya kemenangan ke atas Kelantan itu sangat penting untuk memperbaiki kedudukan Kuala Lumpur yang kini menghuni tangga kesembilan liga.

“Kami tidak boleh terus keciciran mata pada pusingan kedua apatah lagi bermain di gelanggang sendiri yang setakat ini sentiasa memihak kepada kami.“Pada masa sama, kami perlu meningkatkan prestasi bagi memecah badi kekalahan di tempat lawan.

Ia penting kerana kemenangan di tempat sendiri sahaja tidak memadai untuk membantu Kuala Lumpur kekal dalam Liga Super musim depan,” ujar Zaquan.

Fakta menunjukkan skuad warga kota itu amat gah di Stadium PBKL apabila mengalahkan pasukan seperti Johor Darul Ta’zim (1-0), Kedah (4-3) dan PKNS FC (2-1) dan mengikat Pahang 2-2 namun mengalami kekalahan dalam semua perlawanan di tempat lawan.

Kuala Lumpur, mengumpul 10 mata daripada 10 perlawanan hanya dipisahkan dua mata dengan Kelantan yang kini berada dalam zon penyingkiran apabila menduduki tangga ke-11.

Disiarkan pada: May 21, 2018 @ 2:39pm
d