arena

BWF sah terima rayuan rasmi Zulfadli, Chun Seang

Oleh Fabian Peter

PERSEKUTUAN Badminton Dunia (BWF) mengesahkan hari ini bahawa dua pemain badminton Malaysia yang digantung, Zulfadli Zulkiffli dan Tan Chun Seang sudah memfailkan rayuan masing-masing bagi membolehkan kes dakwaan mengatur perlawanan membabitkan mereka dikaji semula.

Awal bulan ini, kedua-dua Zulfadli dan Chun Seang masing-masing digantung perlawanan selama 20 dan 15 tahun dan denda AS$25,000 (kira-kira RM98,000) dan AS$15,000 (RM59,000) selepas didapati bersalah mengatur perlawanan oleh pihak panel bebas.

Daripada laporan penuh pendakwaan yang diadakan di Singapura pada 26 dan 27 Februari, difahamkan bahawa dua pemain badminton negara melakukan kesalahan itu dalam enam kejohanan berbeza dalam tempoh tiga tahun iaitu GP Emas Terbuka London (2013), GP Terbuka Belanda (2013), GP Emas Terbuka Korea (2014), GP Terbuka Macau (2014), GP Terbuka AS (2014) dan GP Emas Terbuka Brazil (2016).

Berdasarkan laporan penuh panel berkenaan, perbualan aplikasi Whatsapp (sebahagian besarnya dalam bahasa Melayu) antara kedua-dua pemain berkenaan sepanjang 15 bulan antara September 27 (2013) - Disember 12 (2014) dijadikan bukti.

Tiga panel bebas berkenaan mendapati Chun Seang melakukan 26 kesalahan di bawah Kod Salah Laku 2012 kerana terbabit mengatur perlawanan manakala Zulfadli terbabit dalam 27 kesalahan mengikut kod sama selain empat lagi kesalahan di bawah Kod Salah Laku 2016.

Di bawah Klausa 14 Prosedur Kehakiman BWF, kedua-dua pemain itu berhak untuk membuat rayuan.

Setiausaha Agung BWF Thomas Lund, mengesahkan kedua-dua pemain melakukan apa yang sepatutnya dan proses untuk mendengar rayuan akan berlangsung tidak lama lagi.

“Kedua-dua pemain memfailkan rayuan masing-masing dan mereka juga sudah memulakan proses berkenaan (membayar deposit AS$500 (RM1,989)).

“Proses pendengaran rayuan itu akan berlangsung tidak lama lagi.”

Aktiviti mengatur perlawanan dalam badminton mula dikesan apabila BWF menerima laporan daripada seorang pemain yang mendakwa Zulfadli memintanya mengatur keputusan perlawanan pada Terbuka Brazil 2016.

Disiarkan pada: May 21, 2018 @ 10:40pm
d