arena

Reds yakin kekang Real

Oleh AFP

PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp tampil yakin betapa anak buahnya mampu merubah pemikiran ramai untuk mengekang Real Madrid daripada meraih gelaran ketiga berturut-turut Liga Juara-Juara, Sabtu ini.

Barisan pemain Klopp memulakan kempen Liga Juara-Juara dengan aksi playoff menentang Hoffenheim untuk berada di peringkat kumpulan pada Ogos lalu.

Kini, selepas meledak 46 gol dalam 14 perlawanan, Liverpool kembali berada di pentas final Liga Juara-Juara di Kiev untuk kali pertama sejak 11 tahun lalu.

“Saya tidak mahu bercakap mengenai keyakinan namun kami berada dalam keadaan yang baik dan memikirkan kami layak untuk berada di mana kami berada kerana pemain sudah menunjukkan kebangkitan dalam setiap perlawanan,” kata Klopp.

“Ia satu perjalanan yang menarik setakat ini dan sekarang kami mahu berada di tahap yang sebaik mungkin.”

Sementara itu, Madrid bakal memasuki pentas final keempat mereka dalam tempoh lima tahun. Namun Klopp percaya Liverpool mampu mengimbangi kekurangan pengalaman sekiranya hendak dibandingkan dengan juara Eropah itu.

“Sekiranya ada pasaran pengalaman, mereka harus menjualnya kerana mereka akan menjadi bertambah kaya berbanding sekarang,” kata Klopp mengenai gergasi Sepanyol itu.

“Pengalaman adalah sangat penting dalam kehidupan tetapi ia bukan satu-satunya yang utama dalam kehidupan, terutamanya bola sepak. Ia satu kelebihan apabila memiliki lebih pengalaman tetapi kamu mampu mencapainya dengan keinginan, kesediaan, sikap, cara kerja dan semua itu adalah kenapa saya meminati bola sepak.”

 

 

Disiarkan pada: May 22, 2018 @ 12:32am
d