arena

'Ronaldo... anda perlu lepasi saya'

Oleh AFP

PERTAHANAN Liverpool, Dejan Lovren sedia mengekang pergerakan Cristiano Ronaldo dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara, di Kiev, Ukraine, Sabtu ini.

Pada final musim lalu, Ronaldo menjaringkan dua gol ketika membantu Real Madrid menang 4-1 ke atas Juventus dan penyerang prolifik kelahiran Portugal itu adalah pemain tunggal yang menjaringkan gol dalam final Liga Juara Juara.

Lovren juga percaya rakannya, Mohamed Salah, yang sudah mengumpul 44 jaringan dalam semua pertandingan musim ini mampu menempatkan diri sebagai tiga penjaring utama bersama Ronaldo dan Lionel Messi.

“Ronaldo, Salah, Messi, perlu dihormati dan Ronaldo sudah terbukti kemampuannya dalam sukan ini, 12-15 tahun, setiap tahun dia menjaringkan lebih daripada 30 gol, meskipun pada musim dia berdepan masalah, tetapi dia tetap mampu menjaringkan 30 gol,” kata Lovren kepada pemberita.

“Kami akan berdepan penyerang terhebat dunia dan kini kamisatu pasukan tahu bagaimana untuk mengekangnya. Kami akan menyekatnya dan saya sedia melakukannya bersama rakan pasukan,” katanya.

Ronaldo sudah menjaringkan 15 gol dalam kempen Liga Juara-Juara musim ini dan muncul pemain pertama menjaringkan gol dalam semuat enam peringkat kumpulan pertembungan.

Dia juga menjaringkan gol dalam setiap aksi di peringkat 16 terbaik dan aksi suku akhir meskipun dia gagal menemui sasaran gol dalam pertembungan di peringkat separuh akhir.

Lovren agak cemerlang mengemudi barisan pertahanan tengah bersama Virgil van Dijk, yang baru menyertai Liverpool dari Southampton Januari lalu dan berjaya membentuk gandingan mantap sejak itu.

Aksi final ini adalah penampilan pertama buat pemain berusia 28 tahun kelahiran Croatia iu.

“Ia bagaikan mimpi menjadi kenyataan bagi setiap pemain. Saya selalu impikan aksi di final Liga Juara-Juara dan saya juga impikan satu hari nanti dapat menjulang trofi itu.

“Kini kami ada peluang terbaik sepanjang hidup untuk melakukannya, ada di kalangan kami ia mungkin peluang sekali, tetapi ada yang lebih berpeluang, apa yang penting kita perlu bangga dengan pemcapaian sendiri,” katanya.

“Kami memang berhak berada di pentas final ini dan harapnya kami dapat memberitahu anak-anak suatu hari nanti betapa kami sudah berjaya melakukannya dan berjaya menjulang trofi berkenaan. Kami akan berikan yang terbaik, semuanya sudah sedia dan kami tidak sabar memulakannya,” kata Lovren.

Disiarkan pada: May 22, 2018 @ 11:15am
d