arena

Jutawan Kanada beli 10% saham McLaren

Oleh AFP

LONDON: Seorang ahli perniagaan Kanada, Michael Latifi, yang anaknya, Nicholas sedang membina kerjaya perlumbaan di Formula Dua (F2), membeli 10 peratus saham Kumpulan McLaren termasuk melabur dalam pasukan Formula Satu (F1) pasukan itu.

McLaren, yang mengumumkan perkembangan itu menyatakan bahawa pembabitan Latifi menerusi pembelian saham bernilai 203.8 juta pound (RM1 bilion) itu sebagai ‘langkah mengukuhkan kewangan kumpulan dan perancangan kumpulan.”

Kumpulan McLaren meliputi perniagaan kereta sport McLaren, pasukan lumba kereta McLaren dan syarikat perkakasan teknologi (McLaren Applied Technologies).

Pembelian saham menerusi syarikat Latifi, Nidala Ltd di Virgin Islands dilihat langkah komersil jangka panjang tetapi ia tiada kaitan dengan kerjaya lumba anak usahawan berkenaan.

Latifi yang menjalankan perniagaan Sofina Foods Inc di Kanada menerusi kenyataan berkata dia tertarik dengan jenama McLaren dan perniagaan kumpulan berkenaan sejak sekian lama.

“McLaren adalah sebuah organisasi unik dalam dunia automotif, perlumbaan dan teknologi dan mengunjurkan prospek peningkatan pendapatan jangka panjang yang menarik hingga mendorong saya membuat pelaburan ini,” katanya.

Pemegang saham utama McLaren masih kekal milik Mumtalakat Holding yang berpangkalan di Bahrain dengan 56 peratus pegangan saham diikuti oleh Kumpulan TAG milik ahli perniagaan Arab Saudi, Mansour Ojjeh yang memiliki 14 peratus pegangan saham bersama empat pemilik saham minoriti lain.

Tahun lalu, Kumpulan McLaren mengumumkan pembelian sejumlah 2.4 juta pound, milik bekas Ketua Eksekutifnya, Ron Dennis yang disingkirkan.

Latifi adalah pelabur terbaru selepas pemergian Dennis.

Dalam kancah perlumbaan F1, McLaren belum mencatat kemenangan sejak GP 2012 tetapi ada peningkatan dalam kedudukan sejak mereka menamatkan kerjasama dengan pengeluar enjin Honda pada akhir musim lalu.

McLaren kini mengikat kerjasama dengan Renault sebagai pembekal enjin dan menamatkan perlumbaan di kedudukan tangga kelima menjelang GP Monaco minggu ini.

McLaren ketika ini diwakili bekas juara dunia dua kali, Fernando Alonso dan pemandu Belgum, Stoffel Vandoorne manakala Lando Norris, dari Britain yang juga pendahulu F2 sebagai pemandu gantian.

Disiarkan pada: May 22, 2018 @ 11:24am
d