arena

2 import baharu taruhan PKNP

Oleh Rodly Fadly

JIKA semuanya berjalan bagai dirancang, PKNP FC bakal melayan kunjungan Selangor di Stadium Batu Kawan malam esok dengan mempertaruhkan dua import baharu, Karl Max dari Chad dan Kim Sang Woo (Korea Selatan).

Walaupun belum ada pengesahan rasmi daripada kelab berkenaan, sumber memberitahu kedua-dua pemain itu hampir pasti menjadi pertaruhan baharu PKNP bagi menggantikan Lyuben Nikolov dan Yeon Gi-sung yang sudah digugurkan.

Jurulatih, Abu Bakar Fadzim ketika dihubungi mengesahkan kelab itu kini dalam proses untuk mendapat sijil perpindahan antarabangsa (ITC) dua pemain import baharu namun masih merahsiakan identiti mereka.

“Setakat ini saya hanya boleh katakan kami sudah ada calon untuk menggantikan Lyuben dan Gi-sung. Cuma, saya tidak boleh mendedahkan siapakah mereka selagi kedua-duanya belum rasmi menjadi milik PKNP.

“Masih ada beberapa proses perlu dilakukan sebelum kami dapat mendaftarkan mereka. Saya berharap ia dapat diselesaikan segera supaya mereka dapat diturunkan malam esok. Jika tidak, kami hanya akan bergantung pada dua pemain import yang masih kekal, Ritus Krjauklis dan Franklin Anzite.

Ia pasti sesuatu yang sukar apatah lagi berdepan pasukan seperti Selangor,” kata pengendali itu.

Menurut Abu Bakar, beliau berpuas hati aksi kedua-dua pemain itu sepanjang menjalani latihan malah tertarik dengan persembahan penyerang baharu yang meledak empat gol ketika PKNP membelasah UKM FC 5-0 pada perlawanan persahabatan, minggu lalu.

Berdasarkan bayangan diberikan Abu Bakar, sumber mendedahkan penyerang dimaksudkan adalah Max yang kini bermain secara pinjaman untuk kelab, FC Mounana dalam Liga Gabon, Afrika.

Max, 31, yang memiliki ketinggian 1.92 meter adalah pemain kebangsaan Chad yang pernah beraksi pada PraPiala Dunia 2010 dan 2014 serta kelayakan Piala Negara-Negara Afrika 2012. Dia pernah muncul penjaring terbanyak Liga Gabon 2010 apabila menjaringkan 20 gol daripada 26 aksi bersama kelab Missile FC.

Sementara itu, sumber turut memberitahu tempat Lyuben di posisi pertahanan bakal diisi pemain simpanan Gyeongnam FC, Sang-woo.

PKNP turut menggugurkan pemain Kemboja, Keo Sokpheng namun Abu Bakar mengesahkan mereka tidak akan mengisi kuota pemain ASEAN itu sebaliknya hanya akan menggunakan empat tenaga import bagi baki Liga Malaysia musim ini.

Disiarkan pada: May 22, 2018 @ 1:02pm
d