arena

Jangan jahanamkan industri bola sepak!

Oleh AFP

BOS La Liga, Javier Tebas hari ini membidas cadangan Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino yang mahu melancarkan dua kejohanan baharu peringkat dunia sambil menyifatkan rancangan itu bakal menjahanamkan industri bola sepak di seluruh dunia.

FIFA sebelum ini mencadangkan pertandingkan Piala Dunia Kelab membabitkan 24 pasukan yang dianjurkan setiap empat tahun dan Liga Kebangsaan Global yang mempertemukan lapan pasukan setiap dua tahun yang dianggap sebagai Piala Dunia mini.

“Saya hanya mahu melindungi industri bola sepak di Sepanyol dan dua pertandingan baharu ini akan menjahanamkan liga bola sepak dan keseluruhan industrinya di negara ini,” kata  Tebas kepada Financial Times.

Kedua-dua kejohanan yang dicadangkan itu disokong oleh penaja daripada sebuah konsortium kalangan pelabur swasta  dan jika menjadi kenyataan ia dijangka menjana pendapatan sebanyak AS$25 bilion(RM97.5 bilion) sepanjang 12 tahun pusingan. 

Setakat ini cadangan itu disambut baik oleh kelab utama di La Liga termasuk Real Madrid dan Barcelona.

Bagaimanapun, Tebas mengakui Piala Dunia Kelab itu akan menyumbang pendapatan lebih besar kepada kelab utama tetapi ia sekali gus mengurangkan kerancakan liga tempatan.

“Saya sudah tegaskan kepada Real Madrid dan Barcelona tentang perkara ini, betapa anda akan kaya hari ini tetapi akan kelaparan pula esoknya,” kata Tebas.

“Perkara ini akan menjejaskan liga kebangsaan. Kami sudahpun berdepan dengan masalah ini di Eropah. Kami perlu menghadapinya dan mencari jalan penyelesaiannya kerana kemunculan Piala Dunia Kelab akan memburukkan lagi keadaan.

Infantino dijangka akan memberi penekanan yang lebih ke atas cadangan penganjuran dua kejohanan baharu itu menjelang Piala Dunia Russia bulan depan.

“Nampak gayanya, kita akan kembali ke zaman FIFA lama, iaitu semua keputusan besar diputuskan oleh sebilangan kecil individu dalam jawatankuasa dan akhirnya semua orang yang terbabit membuat keputusan itu tidak akan terjejas apa-apa,” kata Tebas.

Disiarkan pada: May 22, 2018 @ 1:17pm
d