arena

'Gagal capai sasaran'

Oleh Fabian Peter

SKUAD badminton wanita negara sekali lagi gagal untuk melepasi peringkat kumpulan Piala Uber selepas tumpas 1-4 kepada pasukan pilihan, China dalam aksi kedua Kumpulan D di Arena Impact, Muang Thong Thani hari ini.

Perseorangan wanita nombor satu negara, Soniia Cheah bermula dengan cemerlang namun gagal bertahan hingga set penentuan apabila kalah 21-18, 20-22, 18-21 kepada pemain kelima terbaik dunia, Chen Yufei.

Pada aksi beregu pertama, pasangan nombor satu dunia, Chen Qingchen-Jia Yifan terlalu kuat buat gandingan pecahan Goh Yea Ching-Soong Fie Cho, selepas mereka tumpas 9-21, 8-21 dalam tempoh 30 minit.

Bekas juara remaja dunia, Goh Jin Wei, berjaya memberi sinar harapan buat Malaysia untuk bangkit apabila mengejutkan pemain nombor lapan dunia, He Bingjiao 21-9, 17-21, 21-13.

China yang juga penyandang juara, mengesahkan kemenangan dan menempah tempat ke suku akhir apabila beregu kedua mereka Huang Dongping-Yu Zheng mengalahkan gandingan Vivian Hoo-Chow Mei Kuan 21-19, 21-15.

Perseorangan ketiga Lee Ying Ying yang beraksi sekadar pelengkap jadual turut tumpas 16-21, 15-21 kepada Gao Fangjie.

Malaysia akan menentang Perancis pada aksi terakhir esok, manakala China berdepan Indonesia untuk penentuan juara kumpulan.

Kali terakhir Malaysia berjaya melepasi peringkat kumpulan dalam saingan Piala Uber adalah pada 2010 di Kuala Lumpur.

Disiarkan pada: May 22, 2018 @ 3:31pm
d