arena

Malaysia mudah ke suku akhir

Oleh Fabian Peter

MALAYSIA mengesahkan tiket ke suku akhir Piala Thomas selepas membenam Algeria 5-0 pada aksi kedua Kumpulan D di sini hari ini.

Malaysia akan berdepan juara bertahan Denmark esok untuk menentukan pendahulu kumpulan.

Biarpun merehatkan pemain utama mereka, Datuk Lee Chong Wei dan beregu lelaki Goh V Shem-Tan Wee Kiong, skuad lelaki negara tidak berdepan masalah untuk menyingkirkan juara Afrika itu.

Dalam acara perseorangan pertama, pemain nombor dua negara Lee Zii Jia menewaskan Youcef Sabri Medel 21-6, 21-13, sebelum Iskandar Zulkarnain Zainuddin menyingkirkan Mohamed Abderrahime Belarbi 21-7, 21-9  untuk membolehkan Malaysia mendahului 2-0.

Pendatang baru Leong Jun Hao, tidak menunjukkan rasa gentar apabila mencatat kemenangan 21-13, 21-8  ke atas kapten Algeria Adel Hamek, sekali gus memastikan kemenangan Malaysia.

Pasangan bidan terjun Teo Ee Yi-Mohd Arif Latif, juga mudah menangani lawan mereka Koceila Mammeri-Youcef, apabila menang 21-12, 21-10.

Naib juara Cabaran Antarabangsa Malaysia Aaron Chia-Soh Wooi Yik, melengkapkan kemenangan 21-11, 21-15 ke atas Abderrahime-Adelin pada perlawanan terakhir.

Algeria akan berdepan Russia esok.

 

 

Disiarkan pada: May 22, 2018 @ 6:44pm
d