arena

Favre ganti Stoeger

Oleh AFP

GERGASI Bundesliga, Borussia Dortmund melantik Lucien Favre ketua jurulatih baru dengan kontrak dua tahun, hari ini.

“Komitmen tinggi Lucien Favre sangat penting untuk memulakan musim baru dengan cemerlang. Dia mempunyai keyakinan tinggi dan tidak mudah menyerah kalah dalam banyak perkara,” kata Pengarah Sukan BVB, Michael Zorc.

Favre, 60, yang sebelum ini berkhidmat dengan kelab Ligue 1 Perancis, Nice akan menggantikan Peter Stoeger yang mengendalikan BVB sejak Disember tahun lalu tetapi kontraknya tidak disambung selepas prestasi pasukan tidak menentu.

Dortmund menamatkan kedudukan di tempat keempat, 29 mata di belakang pendahulu, Bayern Munich dan nyaris gagal layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

Favre bukanlah muka baru dalam Bundesliga. Pada musim 2008-2009, beliau membawa Hertha ke kedudukan keempat dalam carta liga.

Pada musim 2011-2012, beliau mengubah nasib Borussia Moenchengladbach yang berada di kelompok bawahan liga. Dia berjaya menyelamatkan kelab itu dari tersingkir dan melonjak ke kelompok pertengahan liga.

"Mengendalikan Borussia Dortmund adalah tugas mencabar tetapi saya bangga. Kami akan memulihkan reputasi kelab ini bersama,” kata Favre.

"BVB salah satu kelab menarik di Eropah dan saya berbesar hati dapat kembali ke Bundesliga, sesuatu yang saya harapkan sepanjang dua tahun di Nice.”

Favre membawa Nice menduduki tangga ketiga musim lalu tetapi tewas aksi playof Liga Juara-Juara menentang Napoli pada Ogos lalu.

Disiarkan pada: May 22, 2018 @ 8:32pm
d