arena

Kedah terus aksi cemerlang

Oleh Izzali Ismail

KEDAH meneruskan momentum kemenangan apabila menewaskan Pahang 2-0, dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.

Dalam perlawanan tadi, kedua dua pasukan saling melakukan gerakan menyerang sejak awal permainan, namun gagal melakukan percubaan tepat ke pintu gol.

Andik Vermasyah hampir melakukan penyudah awal pada minit ke-11, apabila melakukan larian solo hasil hantaran Liridin Krasiniqi, namun gagal menghasilkan penyudah berkesan apabila disekat bek Pahang.

Pahang turut melakukan beberapa gerakan serangan melalui penyerang, Partick Cruz dan Austin Amutu yang bertindak licik memecah benteng Kedah, namun sekali lagi percubaan mereka gagal memecah kebuntuan jaringan.

Pada minit ke-41, penyerang Pahang, Patrick Cruz hampir meledak gol dari ruang kiri pintu gol Kedah, namun penjaga gol skuad Helang Merah, Ifwat Akmal bertindak tepat menepis bola keluar.

Di penghujung babak pertama, Baddrol Bakhtiar akhirnya memecah kebuntuan melalui jaringan pertama Kedah yang dihasilkan melalui sepakan percuma, selepas Andik Vermasyah dijatuhkan oleh kapten Pahang, Matthew Davies pada minit ke-44.

Bermula babak kedua, Pahang mendapat peluang terbaik pada minit ke-52 dan ke-57 melalui percubaan Austin Amutu, tetapi kedua-dua percubaan itu diselamatkan Ifwat.

Akhyar Rashid yang masuk menggantikan Andik turut melakukan gerakan bahaya ke arah pintu gol Pahang pada minit ke-65, namun gagal menambah gol .

Liridon Kransniqi akhirnya menceriakan Stadium Darul Aman dengan mengukuhkan kedudukan Kedah apabila menambah gol kedua pada minit ke-88, selepas melakukan serangan balas pantas ke gawang Pahang.

Disiarkan pada: May 23, 2018 @ 12:17am
d