arena

'Kita tetap akan ke Sukan Olimpik'

Oleh Saiful Affendy Sapran

 

DATUK Seri Subahan Kamal mengulangi pendiriannya untuk melepaskan jawatan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) sekiranya skuad hoki lelaki negara gagal layak beraksi di Sukan Olimpik 2020 Tokyo.

Bagaimanapun tegas Subahan yang menggalas tugas itu sejak 2015, beliau yakin dengan pelbagai perancangan dan sokongan, Malaysia mampu layak secara automatik, sekali gus menamatkan badi gagal layak ke temasya sukan terbesar dunia itu sejak membuat penampilan terakhir pada edisi 2000 di Sydney.

"Kelayakan Olimpik umpama misi hidup dan mati. Sekiranya pasukan kebangsaan gagal ke Olimpik, maka saya secara ikhlas akan melepaskan jawatan,” kata Subahan.

"Saya katakan begitu kerana kami sebenarnya cukup yakin Malaysia mampu layak ke Sukan Olimpik."

Menurut Subahan, apa sahaja jenis sukan, pihak pengurusan dan jurulatih pastinya akan melakukan yang terbaik bagi membantu atlet mereka memenuhi sasaran ditetapkan.

"Tapi akhirnya terpulang kepada pemain. Program Podium memberikan sokongan kepada kita terutama untuk layak ke Sukan Olimpik menerusi Sukan Asia di Indonesia.

 "Jadi dengan semua sokongan, termasuk kewangan yang dilaburkan ke atas barisan pemain, secara logiknya saya berasakan tiada sebab mengapa kita tidak boleh layak ke Sukan Olimpik," katanya.

 Malaysia mempunyai dua cara untuk layak ke Sukan Olimpik. Pertama dengan memenangi pingat emas Sukan Asia di Indonesia, Ogos ini selain menerusi kempen kelayakan Siri Hoki Dunia.

Disiarkan pada: May 23, 2018 @ 4:39pm
d