arena

Junior lega dikekalkan

Oleh Syafiq Aznan

GOL kelima sumbangan pemain import, Junior Aparecido ketika membenam Kelantan 5-1 dilihat menjadi ‘penyelamat’ kepada kariernya bersama Kuala Lumpur dan dia boleh menghela nafas lega selepas dijangka kekal bersama pasukan itu.

Meskipun timbul spekulasi pemain kelahiran Brazil itu akan digugurkan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) susulan prestasi hambar musim ini, namun pengendalinya, Fabio Maciel mengesahkan pemain berusia 28 tahun itu akan terus menjadi sebahagian daripada pemainnya untuk mengharungi musim ini.

“Sudah tentu dia akan terus menjadi sebahagian daripada pasukan ini selepas jendela perpindahan ditutup. Segalanya sudah dijelaskan menerusi perbincangan bersama pengurusan minggu lalu.

“Saya sudah berjumpa dengannya dan menyatakan dia tidak beraksi dengan baik. Saya yang membawanya ke dalam pasukan ini kerana saya tahu kualiti dimilikinya jadi dia menjadi tanggungjawab saya.

“Dia menunjukkan kebangkitan apabila menjaringkan gol malam ini (malam tadi). Dia akan kembali dengan prestasi terbaik dan membuktikan dia layak berada di sini hujung musim ini,” katanya pada sidang media malam tadi.

Pada aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, tuan rumah mengamuk apabila mendahului dengan dua gol hanya dalam tempoh sembilan minit menerusi Guilherme de Paula dan Paulo Josue sebelum De Paula meledak satu gol lagi pada pertengahan babak pertama untuk mendahului 3-1.

Pemain gantian Ashri Chuchu serta Junior turut mencetak nama selaku penjaring untuk menjadikan kedudukan 5-1 sekali gus mencatat kemenangan pertama mereka ke atas Kelantan sejak 2004.

Mengulas lanjut persembahan anak buahnya yang melakar kemenangan terbesar mereka musim ini, pengendali dari Brazil itu mengakui mereka mengambil pengajaran selepas diaibkan lawan sama dengan keputusan 2-4 di Kota Bharu, sebelum ini.

“Kekalahan itu adalah aksi terburuk kami sepanjang musim ini jadi banyak perkara yang diambil daripada perlawanan itu. Setiap kelemahan diperbaiki dalam usaha kami meraih mata penuh pada aksi di tempat sendiri.

“Ini satu keputusan yang baik dan sudah tentu memberi keyakinan kepada kami. Saya harap pemain dapat meneruskan momentum sebegini dan menunjukkan semangat sama bagi aksi seterusnya,” katanya.

Disiarkan pada: May 23, 2018 @ 4:46pm
d