arena

TFC terlalu bagus - Mehmet

Oleh Malik Muhamad

 

BIARPUN pemainnya mempamerkan semangat melawan tinggi hingga wisel penamat, ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic mengakui terpaksa akur dengan kehebatan skuad Terengganu FC (TFC) dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. 

"Saya akui bukan tugas mudah buat pemain kami mengatasi TFC apatah lagi pasukan itu dibimbing pengendali berpengalaman dan dihormati dalam saingan Liga Malaysia (Liga M). 

"Selain itu TFC mempunyai pemain mantap pada setiap posisi bermula di pertahanan hinggalah serangan sekali gus menyukarkan lagi pemain kami menembusi benteng pertahanan mereka. 

"Lebih memeritkan kita dihukum menerusi dua kesilapan yang membolehkan tuan rumah menjaringkan gol pemisah. 

"Tapi jika pemain beraksi mengikut arahan dan konsisten, keputusan pasti berbeza," kata Mehmed ketika ditemui selepas perlawanan.

Dalam perlawanan semalam, skuad The Bos Gaurus yang kini masih berada di kedudukan kedua liga gagal meneruskan rentak kemenangan ke atas pasukan TFC apabila tewas 0-2.

Mehmet berkata, kesilapan barisan pertahanan memberikan sepakan penalti kepada lawan membawa kepada gol pertama TFC pada minit ke-25 perlawanan sekali gus mengubah rentak permainan.

"Apapun inilah bola sepak, namun musim liga masih panjang dan aksi mengecewakan ini perlu dilupakan segera pemain untuk kembali fokus dalam aksi seterusnya bertemu PKNP FC," katanya.

Disiarkan pada: May 23, 2018 @ 5:10pm
d