arena

Neymar makin cergas

Oleh AFP

NEYMAR kembali menjalani latihan  dalam keadaan ‘lebih baik daripada jangkaan’ selepas lebih sebulan tersisih susulan kecederaan kaki, kata jurulatih fizikal pasukan Brazil, semalam.

Penyerang Paris Saint-Germain itu yang mengalami kecederaan kaki pada Februari dan menjalani pembedahan di Brazil berlatih bersama skuad kebangsaan di Teresopolis, berdekatan Rio de Janeiro menjelang Piala Dunia di Russia.

“Dia makin sembuh dengan baik. Dia menjalani latihan setiap hari. Saya boleh kata yang perkembangan ini lebih baik daripada jangkaan,” kata jurulatih itu, Fabio Mahseredjian, kepada wartawan.

Doktor pasukan, Rodrigo Lasmar yang mengetuai pembedahan ke atas Neymar pada Mac lalu berkata: “Dia meraih semula pergerakan asalnya sedikit demi sedikit.

“Tahap berikutnya ialah latihan penuh berkumpulan dan kemudian beraksi dalam perlawanan. Segala-galanya dilakukan untuknya supaya dia berasa selesa.”

Neymar berpeluang untuk beraksi dan kembali cergas pada perlawanan persahabatan menentang Croatia pada 3 Jun ini diikuti menentang Austria pada 10 Jun.

Brazil membuka kempen Piala Dunia 2018 di Russia menentang Switzerland pada 19 Jun ini.

Sementara itu, pemain sayap Douglas Costa mengalami kecederaan otot yang kecil sekali gus mengecualikannya daripada perlawanan persahabatan, kata Lasmar.

Disiarkan pada: May 24, 2018 @ 10:56am
d