arena

Surat buat Les Bleus

TERSISIH daripada Piala Dunia 2018 susulan kecederaan otot Achilles, pertahanan Perancis, Laurent Koscielny menulis surat bagi memberi semangat kepada rakan sepasukannya, kata ketua jurulatih, Didier Deschamps.

Pemain berusia 32 tahun itu yang mempunyai 50 penampilan bersama skuad kebangsaan dibawa keluar ketika kekalahan Arsenal di peringkat separuh akhir Liga Europa kepada Atletico Madrid, dua minggu lalu.

“Dia adalah lelaki yang kamu boleh bergantung harap dan saya memberitahunya jika dia mahu, dia lebih daripada dialu-alukan untuk melawat kami,” kata Deschamps.

“Ia adalah idea yang bagus dan saya mtunjukkan surat itu kepada pemain. Ada segala-galanya dalam surat itu buat lelaki yang tahu betapa pentingnya panggilan untuk menyertai kejohanan antarabangsa.”

Persekutuan Bolasepak Perancis kemudian mendedahkan kandungan surat Koscielny kepada umum.

“Perkara paling utama ialah dapat bergaul dengan baik sesama kamu, kesemuanya, pemain-pemain dan juga staf,” kata Koscielny.

“Semua orang perlu bertarung dan melakukan perkara yang lebih untuk rakan sepasukan, semangat berpasukan adalah kuncinya.

“Seluruh negara ada di belakang kami dan akan bersorak untuk kamu. Sokongan ini, tenaga, kebanggaan dan semangat akan meningkatkan diri kami seperti pada Euro 2016,” kata Koscielny yang berada dalam skuad Perancis yang tewas di final kepada Portugal.

“Tahun ini, saya akan berada di sofa saya, menonton perlawanan di televisyen dan menjadi peminat nombor satu kamu.”

Berita mengenai surat Koscielny hadir selepas pemain tengah Paris Saint-Germain, Adrien Rabiot, enggan berada dalam senarai menunggu skuad Perancis yang berkumpul di pusat latihan di sini. - AFP

Disiarkan pada: May 24, 2018 @ 11:38am
d