arena

Ballon d'Or taruhan Salah, Ronaldo

Oleh AFP

PADA era yang mana anugerah individu juga sama pentingnya, final Liga Juara-Juara antara Real Madrid dan Liverpool - juga antara Cristiano Ronaldo dan Mohamed Salah - boleh menentukan siapa pemenang Ballon d’Or berikutnya.

Lebih-lebih lagi, Ronaldo sudah memenangi gelaran berprestij itu setiap kali membantu Real menjulang trofi keagungan Eropah itu pada 2014, 2016 dan sekali lagi tahun lalu.

Ia mungkin gambaran kurang baik apabila mengaitkan aksi final, awal pagi Ahad ini dengan hanya dua pemain jika diperhalusi kekuatan kedua-dua pasukan terutama di bahagian serangan.

Namun ketika Ronaldo dan Lionel Messi mendominasi Ballon d’Or sejak sedekad lalu, siapa yang akan memenangi gelaran tahunan itu sebagai pemain terbaik dunia sentiasa menjadi perdebatan.

Pusingan akhir Piala Dunia di Russia tahun ini juga memainkan peranan besar dan mustahil untuk membayangkan Messi tidak memenangi Ballon d’Or keenam jika dia mengemudi kejuaraan buat Argentina.

Bagaimanapun Ronaldo boleh mengukuhkan namanya di Kiev, ketika ia turut menjadi peluang keemasan buat Salah sebelum dia mengetuai Mesir pada Piala Dunia.

Prestasi Ronaldo pada permulaan musim ini tampak membimbangkan tetapi dia bangkit untuk meledak 41 gol dalam semua pertandingan selain menjadi antara tonggak Real dalam kempen Liga Juara-Juara.

“Cristiano tahu pemain boleh mengharungi tempoh yang sukar. Kerana itu dia adalah yang terbaik,” kata jurulatih Real, Zinedine Zidane minggu ini.

“Sesetengah pemain bergelut di bawah tekanan, ada yang tidak tertekan dan dia salah seorang daripadanya. Berhati-hati jika anda banyak mengkritiknya.”

Bagi Salah, ia musim pemecah rekod buatnya yang meledak 32 gol dalam kempen Liga Perdana Inggeris untuk secara keseluruhan 44 gol dalam semua pertandingan sejak tiba di Anfield dari AS Roma termasuk 11 dalam Liga Juara-Juara.

Dia mendapat sokongan kukuh rakan serangan Roberto Firmino dan Sadio Mane dengan gandingan itu mengumpul 90 gol antara mereka dalam semua pertandingan tetapi harapan Liverpool untuk menang gelaran keenam Eropah terletak di bahu Salah.

Sama ada kemenangan di Kiev cukup untuk menghadiahkannya Ballon d’Or, ia masih menjadi perdebatan termasuk dalam kalangan rakan sepasukannya.

“Tapi jika Messi dan Ronaldo menang Piala Dunia? Adakah mereka layak? Saya tidak tahu apa yang anda lihat untuk menang  Ballon d’Or,” kata Georginio Wijnaldum, pemain tengah Liverpool. “Adakah ia membabitkan wang kemenangan, siapa yang menjaringkan lebih gol, kita akan lihat nanti.”

Pertahanan Reds, Dejan Lovren lebih optimis.

“Dia boleh menjadi yang terbaik daripada tiga pemain terbaik dunia. Dia memiliki kualiti dan pengalaman bertaraf dunia.

“Dia amat tenang, tidak bermegah-megah dan layak untuk menerima pujian atas semua gol yang dijaringkan dan sudah tentu ia membantunya mencapai impiannya.”

Disiarkan pada: May 24, 2018 @ 4:49pm
d