arena

Saingan jawatan Presiden FAM sengit!

Oleh Azlan Muhammad Zain

BEKAS pemain kebangsaan, Zainal Abidin Hassan yakin saingan merebut jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kali ini amat sengit.

Bagaimanapun pada masa sama beliau turut percaya calon yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman dalam bola sepak menjadi aspek penting dalam mengisi kerusi nombor satu yang ditinggalkan Tunku Ismail Sultan Ibrahim itu.

“Ia satu saingan yang sengit (jawatan presiden). Kita mengharapkan individu yang tepat dipilih sebagai presiden.

“Mereka bertiga berbakat namun adalah penting untuk mempunyai pengetahuan dan pengalaman dalam bidang yang kita ceburi, contohnya dalam konteks ini bola sepak. Sebagai presiden, penting untuk menangani aspek pengurusan dengan baik,” jelasnya yang hadir pada majlis pelancaran Futbal Fanatix Run @ Shah Alam di Shah Alam, hari ini.

Selepas tamat tempoh pencalonan awal bulan ini, FAM mengumumkan tiga individu dicalon ahli gabungan untuk merebut kerusi nombor satu badan induk bola sepak negara itu.

Selain Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, dua lagi adalah bekas Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa dan Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi.

Mereka bagaimanapun perlu mengesahkan penerimaan pencalonan sebelum atau pada 14 Jun depan, genap sebulan sebelum berlangsungnya Kongres FAM Ke-54 pada 14 Julai.

Disiarkan pada: May 24, 2018 @ 6:49pm
d