arena

Selamat jalan Donadoni

Oleh Reuters

BEKAS jurulatih skuad kebangsaan Itali, Roberto Donadoni dipecat oleh kelab Serie A, Bologna, hari ini selepas lebih dua setengah tahun memikul tugas berkenaan.

Bologna yang menamatkan kempen musim ini di kedudukan ke-15 memutuskan untuk tidak meneruskan kerjasama dengan pengurus berusia 54 tahun sekali pun menggambarkannya sebagai jurulatih yang ‘cemerlang.’

“Bologna FC 1909 mengumumkan Roberto Donadoni tidak akan menjadi ketua jurulatih pasukan pada musim depan,” kata kelab itu dalam kenyataan di Twitter sambil mengucap terima kasih terhadapnya dan staf kejurulatihan.

“Saya menggambarkan Donadoni sebagai jurulatih yang cemerlang yang sudah membuat beberapa sumbangan yang penting terhadap kredibiliti kelab,” kata presiden kelab itu, Joey Saputo.

“Kami begitupun merasakan, selepas tiga musim, tempohnya di Bologna perlu berakhir di sebalik komitmen dan dedikasi yang beliau dan staf kejurulatihannya sentiasa tunjukkan.”

Sepanjang di bawah kendalian Donadoni, pencapaian terbaik kelab itu di Serie A adalah di kedudukan ke-14.

Sebagai pemain, Donadoni yang juga bekas pemain sayap Itali selama sedekad memenangi tiga gelaran Serie A dan tiga kejuaraan Liga Juara-Juara bersama AC Milan.

Meskipun cukup dihormati, beliau gagal untuk mengulangi kejayaannya ketika bermain kepada jurulatih dan tidak pernah memenangi sebarang gelaran utama dalam karier kejurulatihan bersama Lecco, Livorno, Genoa, Cagliari, Napoli dan Parma.

Donadoni mengendali skuad kebangsaan Itali pada 2006, selepas pasukan itu menjuarai Piala Dunia hingga 2008, dan mengetuai mereka mara ke suku akhir Euro 2008.

Beliau adalah jurulatih kedua dari Seria A yang berpisah dengan kelab masing-masing pada penghujung musim 2017-18 selepas Napoli menggantikan Maurizio Sarri dengan Carlo Ancelotti, semalam.

Disiarkan pada: May 25, 2018 @ 8:59am
d