arena

Perancis 'tidak istimewa'

Oleh AFP

JURULATIH Denmark, Age Hareide membuat penilaian kontroversi terhadap skuad Perancis di Piala Dunia 2018 dengan mendakwa pasukan itu bukan pencabar kejuaraan tulen dan hanya mempunyai peluang kecil di Russia.

“Saya tidak percaya dengan pasukan ini,” kata Hareide kepada akhbar harian Denmark, Jyllands-Posten kira-kira sebulan sebelum pertembungan kedua-dua pasukan pada 26 Jun ini.

“Tiada yang istimewa mengenai mereka.

“Mereka tidak mempunyai pemimpin seperti Zinedine Zidane untuk mengetuai pasukan, seseorang yang tahu untuk memberi rangsangan terhadap mereka,” kata warga Norway itu yang sudah tiga tahun melatih Denmark.

“Mereka perlu bermain seperti satu pasukan.”

Jurulatih berusia 64 tahun itu juga melakukan kritikan terus terhadap bintang Manchester United, Paul Pogba terhadap gaya rambutnya yang pelik.

“Dia bermain menentang Manchester City dengan rambut yang diwarnakan biru dan putih, mungkin dia akan mewarnakan merah dan putih ketika bertemu kami,” kata Hareide. “Mengejutkan, adakah dia hanya berfikir mengenai potongan rambutnya?”

Hareide berkata beliau berharap untuk membimbing Denmark untuk memperoleh kempen yang menakjubkan di Russia.

“Saya tidak boleh hanya gembira selepas kami berada di Piala Dunia,” katanya. 

Denmark menewaskan Ireland 5-1 dalam perlawanan playoff untuk mara ke pusingan akhir dan diundi dalam Kumpulan C bersama Peru, Australia dan Perancis.

Disiarkan pada: May 25, 2018 @ 9:42am
d