arena

PKNP perlu ikat Gilmar, Luiz

Oleh Azizan Hashim

RANTAI Gilmar dan Wander Luiz. Itulah arahan Abu Bakar Fadzim kepada benteng Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC apabila pasukan itu bertemu Perak dalam saingan Liga Super di Stadium Perak, malam esok.

Bagi jurulatih itu, dua pemain berkenaan mampu memusnahkan PKNP FC jika dibiarkan bermaharajalela.

Katanya, pada pertemuan pertama antara kedua-dua pasukan di Stadium Batu Kawan pada 15 April lalu, Luiz memusnahkan mereka dengan dua jaringan.

“Mereka ini mengkucar-kacirkan barisan pertahanan kami dengan Luiz menjaringkan dua gol untuk membantu kemenangan 2-1 Perak ke atas PKNP FC. Justeru benteng kami perlu mantap dan jitu,” katanya.

Abu Bakar berusaha memperkemaskan benteng pertahanannya dengan mendapatkan khidmat pemain Korea Selatan, Kim SangWoo untuk bergandingan dengan Ritus Kraujklis selain turut memantapkan jentera serangan dengan mengikat Karl Max Dany dari Chad.

Bagaimanapun, setakat ini hanya Sangwoo yang pasti beraksi kerana Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) sudah diperoleh pada hari perlawanan dengan Selangor, di Batu Kawan, Rabu lalu.

Perlawanan itu bagaimanapun dibatalkan kerana masalah lampu limpah.

Justeru PKNP FC menunggu dengan penuh debaran ketibaan ITC Max agar dapat beraksi malam esok.

“Yang pasti ini ujian pertama buat Kim. Saya harap dia lulus ujian pertama ini. Begitu juga Max,” katanya.

Abu Bakar sedar anak buahnya berdepan tugas berat kerana bertemu lawan yang pasti turun dengan azam dan tekad meraih mata penuh terutama bagi menebus kehampaan tumpas kepada Terengganu, Selasa lalu.

“Pemain PKNP kena bersedia dan lebih berhati-hati jika ingin mengelak kekalahan, ” katanya.

Disiarkan pada: May 26, 2018 @ 12:04am
d