arena

Bola Shebby: Kiev penentu juara Eropah

Oleh Serbegeth Singh

Kejuaraan kelab bolasepak terbaik di Eropah akan di tentukan di Kiev, Ukraine pada awal pagi esok. Dua kelab bertanding di dalam satu perlawanan untuk dimahkotakan ‘raja’ bola sepak kelab Eropah. Demikianlah harapan Real Madrid dari Sepanyol dan pasukan Liverpool dari England.

Musim Liga tempatan 2017/2018 sudahpun tamat dengan Real Madrid menduduki tangga ketiga di Là Liga dengan ketinggalan 17 mata di belakang pasukan juara Barcelona.

Pada waktu ini juga, Liverpool menduduki tangga keempat di EPL dengan perbezaan 25 mata di belakang juara Manchester City.

Jadi, kita akan menyaksikan dua pasukan yang begitu sederhana di liga tempatan tetapi bakal digelar Juara Eropah.

Pasukan yang muncul juara liga tempatan seperti Manchester City dari England, Juventus dari Itali, Barcelona juara La Liga, Bayern Munich dari Bundesliga dan PSG dari Peranchis semua kecundang di Liga Juara Juara Eropah atau UCL.

Semua pasukan berkenaan muncul juara liga tempatan kerana begitu konsisten mempersembahkan aksi terbaik setiap minggu.

Dan apa pula keistimewaan Real Madrid serta Liverpool yang kini hanya satu lagi perlawanan daripada gelaran juara liga paling hebat di dunia.

Bagi Real Madrid, sejarah di dalam pertandingan ini sudah menjadi satu tradisi.

Selepas muncul juara Eropah 12 kali mereka ingin mencipta sejarah dengan kejuaraan ketiga berturut-turut. Dua musim sudah, Real Madrid muncul juara dan kini satu lagi rekod boleh dicapai.

Real Madrid mempunyai tonggak seperti Keylor Navas yang muncul penjaga gol berwibawa. Kemampuan dia jarang sekali menjadi buah mulut tetapi persembahan di UCL adalah luarbiasa.

Gandingan Raphaël Varane dan Sergio Ramos pula sudah mula serasi dengan kombinasi kepantasan pemain Perancis serta kebolehan keseluruhan lagenda Sepanyol.

Pemain tengah, Luka Modric dan Casemiro bertenaga di bahagian tengah, sementara bintang Real Madrid sekali lagi adalah Cristiano Ronaldo.

Penyerang berbisa yang sudah memiliki status di antara terbaik dalam sejarah bolasepak, Ronaldo masih lagi menunjukkan satu tekad begitu tinggi, mengejar setiap kejayaan dan anugerah.

Liverpool pula mempunyai Mohamed Salah. Pemain ini yang telah membangun dan matang di Serie A bersama Fiorentina serta Roma dari tahun 2015 hingga Jun 2017 mendapati kehidupan di EPL begitu mudah. Dia muncul sebagai pemain mempunyai magis tersendiri.

Kebolehan mirip Lionel Messi dan Ronaldo, gaya mara dengan bola serta kemahiran menggelecek begitu pantas kini meletakkan Salah pemain yang berada di keadaan tertekan. Segala harapan Liverpool terletak di bahunya dan kini sudah tiba masanya untuk Liverpool membantu Salah.

Sekiranya, Salah sudah membawa Liverpool ke pentas tertinggi, kini dia memerlukan rakan sepasukan untuk menjamin namanya sebagai wira. Pertahanan tengah pasukan Liverpool, Virgil van Dijk dan Dejan Lovren tidak selesa menghadapi tekanan mental, sementara gabungan Jordan Henderson dan James Milner di bahagian tengah tiada kreativiti.

Untuk mencapai status lagenda, seorang pemain memerlukan kejuaraan kerana segala yang lain seperti jaringan 32 gol di EPL dan 10 di UCL hanya tinggal statistik. Dan Salah pada musim ini sudah harus digelar legenda.

Hanya Kiev akan menentukan.

Disiarkan pada: May 26, 2018 @ 3:35am
d