arena

Rabiot tarik diri

PARIS: Pemain tengah Paris Saint-Germain, Adrien Rabiot, yang menolak peranan sebagai pemain simpanan dalam skuad Piala Dunia Perancis hari ini mengkritik jurulatih Didier Deschamps dalam surat terbuka kepada media Perancis.

Rabiot berkata dia “mengambil sepenuhnya tanggungjawab terhadap keputusannya” namun mensasarkan kritikan kepada Deschamps.

“Jika saya membuat keputusan untuk menarik diri daripada senarai sebagai simpanan, ia kerana saya merasakan pilihan jurulatih membabitkan saya tidak memiliki logik dalam sukan. Sejak bertahun mesej yang jelas ialah: persembahan baik membuka pintu ke skuad Perancis,” kata pemain berusia 23 tahun itu.

“Saya jangka keputusan saya ini pasti akan memberi kesan, tetapi saya kecewa digambarkan sebagai pemain muda tidak matang dan gagal memahami kepentingan apa dilakukan.”

“Memakai jersi biru adalah penghormatan buat saya, sumber penghormatan. Menang bersama Perancis ialah tanggungjawab. Sejak berusia 15 tahun saya bertarung untuk memakai jersi Perancis dalam setiap peringkat umur,” kata Rabiot yang memiliki enam kaps selaku pemain senior.

Rabiot menjadi seorang daripada 11 pemain diminta kekal dan bersedia jika mana-mana 23 pemain pilihan cedera sebelum Piala Dunia, namun dia menarik diri dan menghantar emel kepada Deschamps menyatakan dia tidak boleh mengikuti program latihan. - AFP

Disiarkan pada: May 26, 2018 @ 7:59am
d