arena

Thiem, Simon berentap di final

Oleh Reuters

PILIHAN utama, Dominic Thiem menempah tiket ke final tenis Terbuka Lyon selepas menewaskan pemain Serbia, Dusan Lajovic 6-4 5-7 6-4, hari ini.

Pemain nombor lapan dunia itu akan bertemu pemain veteran, Gilles Simon di pentas akhir selepas pemain Perancis itu membenam cabaran pemain British, Cameron Norrie menerusi kemenangan 6-1 7-6(6) dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Simon mematahkan tiga servis Norrie pada set pertama namun lawannya yang berusia 22 tahun itu memberikan cabaran pada aksi kedua yang memaksa perlawanan memasuki ‘tie break’ namun pengalaman Simon jelas mengatasi segalanya.

Pemain berusia 33 tahun itu berjaya menyelamatkan dua mata akhir untuk meraih kemenangan namun Norrie meninggalkan Lyon dengan reputasi lebih baik.

Kemaraannya sehingga ke separuh akhir bakal menyaksikan dia memasuki kelompok 100 pemain terbaik dunia buat kali pertama.,

Sementara itu, Thiem dipaksa beraksi dua kali semalam selepas aksi suku akhir bertemu Guillermo Garcia-Lopez ditangguhkan susulan masalah lampu limpah.

Perlawanan bersambung semula dengan masing-masing memenangi satu set sebelum dia bertarung selama 50 minit bagi mengesahkan kemenangan menerusi keputusan 6-7(4) 7-6 (0) 6-4.

Aksi separuh akhirnya bertemu Lajovic berakhir hanya dalam tempoh dua jam dan pemain berusia 24 tahun itu kini menyasarkan gelaran ATP buat kali ke-10 sebagai motivasi sebelum aksi Terbuka Perancis, minggu depan.

Disiarkan pada: May 26, 2018 @ 10:29am
d