arena

Hughes kekal lagi 3 tahun  

Oleh Reuters

PENGENDALI Southampton, Mark Hughes menandatangani kontrak baharu selama tiga tahun selepas membantu pasukan itu kekal beraksi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) bagi musim depan.

Pengendali berusia 54 tahun itu mengambil alih tugasan bersama bekas pasukannya itu bagi tempoh jangka pendek sehingga penghujung musim lalu dengan misi untuk menyelamatkan mereka daripada tersingkir.

Dia menjadi calon tidak dijangka selepas meninggalkan Stoke City dengan rekod kurang cemerlang namun Saints meraih dua kemenangan dan satu keputusan seri dalam empat perlawanan terakhir sekali gus kekal beraksi di saingan elit itu selepas menamatkan saingan di tangga ke-17.

“Mark dan pasukannya memberi impak yang besar sejak hari pertama kepada pemain, kakitangan dan juga penyokong serta kerjasama yang ditunjukkan membolehkan kami meraih keputusan diperlukan.

“Di bawah kepemimpinan Mark, adalah lebih penting untuk semua supaya memiliki fokus dan tenaga yang baharu bagi mengharungi musim depan selain sokongan terus menerus daripada penyokong,” kata pasukan itu menerusi satu kenyataan.

Penolong pengurus, Mark Bowen dan jurulatih, Eddie Niedzwiecki turut menandatangani kontrak baharu.

“Mark, Eddie dan saya begitu teruja untuk menandatangani kontrak jangka panjang bersama pasukan ini, Ini adalah pilihan yang kami pertimbangkan selepas lapan minggu bersama pasukan,” kata Hughes.

“Kakitangan dan pemain akan terus bekerja keras untuk menghasilkan kejayaan yang pasukan ini mahukan.

“Sudah pasti sasaran yang ditetapkan dapat dicapai dengan kerjasama semua pihak.”

Disiarkan pada: May 26, 2018 @ 11:53am
d