arena

Idea segar untuk program BAM

Oleh Daripada Fabian Peter di Bangkok

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) perlu merangka program berbeza kepada pemainnya berdasarkan peringkat umur.

Menurut Ketua Pegawai Operasi (COO) Badminton Asia, Kenny Goh yang percaya ia adalah cara terbaik untuk membentuk skuad negara susulan persembahan buruk di Piala Thomas dan Uber di Bangkok.

Bekas pengurus besar BAM berkenaan percaya, program yang lebih berstruktur akan membuka peluang pembabitan persatuan negeri selain turut membantu menambah jumlah pemain untuk diketengahkan.

“Jika saya dapat menyuarakan pandangan berhubung perkara ini, BAM perlu ada tiga tahap berbeza untuk skuad negara bermula dari elit, pelapis dan remaja.

“Skuad elit yang terdiri daripada empat hingga enam pemain yang boleh diharapkan serta sedia bekerja keras selain tiga hingga enam beregu untuk lelaki, wanita dan campuran. Barisan pelapis perlu lebih ramai, terdiri daripada pemain berusia 19 hingga 21 tahun. Pelapis dan elit perlu diberikan peluang untuk berlatih antara satu sama lain.

“Kumpulan ketiga sangat penting, mengandungi pemain berusia 15 hingga 18 tahun. Pembangunan tidak seharusnya tertumpu kepada Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), ini bermakna persatuan negeri perlu mempunyai kuasa dan memantau. Kelab perlu diberikan peluang untuk berkembang di bawah pengawasan BAM. Latihan berpusat dan tersusun akan menjadi kunci.

“Jabatan pertandingan BAM perlu merancang lebih banyak kejohanan pembangunan kerana ia adalah platform terbaik untuk berlatih. Bagi setiap peringkat skuad, perlu ada ketua jurulatih dengan mereka perlu melapor terus kepada setiausaha kehormat atau presiden.

“Lee Chong Wei masih boleh menjadi sebahagian daripada perancangan, mungkin program istimewa direka untuknya dan dilatih Hendrawan. Ia cuma pandangan saya namun saya percaya, terdapat individu yang mampu melakukan rombakan iaitu Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria (Presiden BAM),” jelas Kenny menerusi akaun Twitter pada Sabtu, reaksi balas kepada laporan Sukan NSTP.

Susulan tersingkir pada suku akhir Piala Thomas dan peringkat kumpulan Piala Uber, BAM sedar mereka perlu melihat kembali program.

BAM turut meletakkan sasaran untuk menamatkan kemarau kejuaraan dalam tempoh empat tahun lagi.

Khamis lalu, Malaysia tewas 3-1 kepada Indonesia pada suku akhir Piala Thomas, manakala skuad wanita gagal melepasi aksi peringkat kumpulan, menamatkan saingan pada kedudukan ketiga Kumpulan D di belakang China dan Indonesia.

Disiarkan pada: May 26, 2018 @ 10:15pm
d