arena

Terasa seperti di Kiev

Oleh Firdaus Hashim

MESKIPUN jarak venua perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah antara Real Madrid dan Liverpool beribu batu jauhnya, kehangatan pertembungan dua kelab terbaik Eropah itu tetap meraih apabila kira-kira 400 penyokong The Reds hadir di Thirsty Bar, di sini, sebentar tadi.

Sambutan hebat itu sudah dijangkakan apatah lagi ianya adalah aksi kemuncak dan terakhir di peringkat Eropah bagi mencari siapakah 'Raja' sebenar benua itu.

Tinjauan Sukan NSTP di lokasi berkenaan mendapati, ratusan penyokong Liverpool itu sanggup menunggu enam jam lebih awal daripada sepak mula yang dijadualkan pada jam 2.30 pagi dengan masing-masing memakai jersi keramat mereka berwarna merah.

Turut hadir menyaksikan tayangan skrin gergasi itu adalah Presiden KL Kopites, Sashidaran Bathmanathan yang mengakui terkejut dengan sambutan hangat ahli kelab penyokong itu

"Ini sesuatu yang mengejutkan. Kami sendiri selaku penganjur tayangan ini tidak menyangka dengan kehadiran sehebat ini," katanya yang meramalkan anak buah Jurgen Klopp mampu meraih kemenangan di Stadium Olimpik Kiev, Ukraine dengan keputusan 2-1.

Selain tayangan skrin gergasi, beberapa acara sampingan disediakan antaranya cabutan bertuah dan kuiz.

Disiarkan pada: May 27, 2018 @ 5:27am
d