arena

Kecederaan Salah serius: Klopp

Oleh AFP

PENGURUS Liverpool, Juergen Klopp mendedahkan bahawa kecederaan Mohamed Salah yang menyebabkannya terpaksa dikeluarkan pada separuh pertama final Liga Juara-Juara awal pagi tadi sebagai ‘serius’.

“Ia satu kecederaan serius. Dia di hospital untuk menjalani X-ray. Ia mungkin membabitkan tulang selangka atau bahu,” kata Klopp selepas pasukannya tewas 1-3 kepada Real Madrid di Kiev.

“Nampaknya tidak bagus. Itu saja.”

Salah, yang menjaringkan 44 gol buat Liverpool musim ini, dikeluarkan pada separuh masa selepas perlawanan dengan linangan air mata selepas mengalami kecederaan ketika berebut bola dengan Sergio Ramos.

Liverpool berada pada tahap terbaik ketika itu, namun dikejutkan kecederaan pemain Mesir itu, mereka terus hilang arah hasil dua kesilapan penjaga gol Loris Karius dan jaringan cantik Gareth Bale.

Bagaimanapun Klopp percaya kehilangan Salah menjadi titik tolak kekalahan mereka.

“Sudah pastilah ia detik yang hebat dalam perlawanan itu. Saya sedar jika anda berkata demikian kelihatannya seperti kalah teruk tetapi bagi kami ia satu terjahan keras. Ia seperti bergusti. Pemain benar-benar terkejut.”

Salah kemudiannya meninggalkan stadium NSC Olimpiyskyi dengan lengan berbalut, tidak berhenti untuk melayan media yang menantinya.

Laman Twitter rasmi pasukan Mesir, @Pharaohs, memuat naik gambar Salah dengan keterangan: “Semoga cepat sembuh @MoSalah".

Bagaimanapun Klopp mengakui Salah mungkin terlepas Piala Dunia, di mana dia menjadi sandaran Mesir untuk penampilan pertama mereka di kejohanan itu sejak 1990, namun perlawanan pertama menentang Uruguay, 15 Jun ini hanya berbaki tiga minggu.

“Kami mahukan segala-galanya dan tidak memperolehi apa-apa. Kami kehilangan pemain penting dan Mesir mungkin kehilangan pemain utama di Piala Dunia.

“Dari apa yang saya perkatakan, ia tidak kelihatan bagus,” katanya. -AFP

Disiarkan pada: May 27, 2018 @ 8:53am
d