arena

Malaysian Tigers kena 6-1

Oleh Naqib Nor Said

SKUAD hoki negara mengalami kekalahan besar dalam perlawanan kedua Jelajah Argentina, kali ini tumbang 1-6 kepada skuad pemenang emas Olimpik 2016 itu di Mar Del Plata, awal pagi tadi.

Berbeza dengan aksi pertama menyaksikan Malaysia mampu bertahan selama 56 minit sebelum tunduk 1-0, kali ini Argentina hanya memerlukan lapan minit untuk selesa mendahului 2-0 menerusi jaringan padang Tomene Domas dan Nicolas Della Torre.

Suku kedua menyaksikan skuad kendalian Stephen Van Huizen cuba menyusun kembali permainan tetapi mereka mudah kehilangan bola sebelum tuan rumah menambah empat gol menerusi dua suku terakhir.

Bermula dengan gol kedua Della Torre (m-38), Lucas Martinez menjadikan kedudukan 4-0 berakhir suku ketiga.

Tomene Domas menambah jaringan pada minit ke-52 untuk pasukan ranking kedua dunia itu sebelum Della Torre melengkapkan hatriknya empat minit kemudian.

Penyerang negara Nik Muhammad Aiman Rozemi yang direhatkan pada aksi pertama bagaimanapun berjaya menghadiahkan gol sagu hati buat Malaysian Tigers beberapa saat sebelum semboyan dibunyikan menerusi gerakan padang.

"Untuk perlawanan kedua ini saya menurunkan Hairi (Abd Rahman) sebagai penjaga gawang dengan Nik dan Najib Abu Hassan dibawa masuk menggantikan tempat Najmi (Farizal Jazlan dan Norsyafiq Sumantri," kata Stephen.

"Tetapi Argentina bermain pantas dan menekan tinggi sejak awal perlawanan untuk memperoleh dua gol awal. Kami cuba bangkit tetapi mudah kehilangan bola walaupun berupaya membuat beberapa percubaan menerusi serangan balas.

"Kami juga mendapat dua peluang keemasan menerusi percubaan tepat ke arah gol. Namun sebaliknya Argentina yang menambah gol akibat daripada kawalan pertahanan yang lemah dengan gol keempat mereka dihasilkan ketika lima saat untuk tamat.

"Malah, satu daripada dua gol pukulan sudut penalti di suku keempat melalui celah kaki penjaga gol dan walaupun kami cuba memberi tentangan tetapi kegagalan menjaringkan gol dan melepaskan gol dengan terlalu mudah menyebabkan kami tampak gagal beraksi baik."

Stephen bagaimanapun menjanjikan aksi lebih kemas untuk pertemuan ketiga esok daripada keseluruhan enam perlawanan persahabatan menentang Argentina.

Disiarkan pada: May 27, 2018 @ 2:39pm
d