arena

MFL gagal pertimbang faktor utama

Oleh Syafiq Aznan

KEGAGALAN Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mempertimbangkan beberapa faktor sebelum membuat keputusan meneruskan aksi sepanjang Ramadan dilihat menjadi punca saingan Liga Malaysia (Liga M) bertukar hambar pada bulan terbabit.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa berkata, tidak keterlaluan untuk menyatakan aksi Ramadan boleh dianggap menjadi 'syok sendiri' dengan badan pengendali liga seharusnya bertanggungjawab atas kesilapan dan memikirkan semula soal penyusunan jadual pada musim akan datang.

Katanya, kegagalan MFL untuk menilai isu sosial budaya, faktor ekonomi kumpulan sasar dan juga kepemimpinan yang lesu menyebabkan keghairahan dan semangat penonton untuk menyaksikan perlawanan 'terpadam'.

“MFL seharusnya belajar untuk menilai semangat penonton dan rakyat. MFL juga tidak sensitif kerana jika hendak dibandingkan, perlawanan persahabatan bertemu Barcelona pada 2013 yang diadakan pada Hari Raya juga tidak mendapat sambutan apatah lagi perlawanan Liga M.

“Saya kira ada beberapa faktor menyebabkan situasi ini antaranya adalah hampir 90 peratus penonton beragama Islam jadi ibadat diletakkan sebagai fokus mereka. Faktor ekonomi turut memainkan peranan apabila hampir 85 peratus penonton adalah mereka di bawah kategori pertengahan dan B-40, jadi menonton bola tidak menjadi keutamaan.

“Selain itu, penonton muda juga sudah bosan dengan pemain yang mendapat ganjaran gaji tinggi tapi prestasi di atas padang amat mengecewakan sama ada di kelab atau negara. Penonton jelik dengan pemain yang suka menayang kemewahan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada masa sama, Sadek juga mengakui senario politik semasa turut 'menjangkiti' landskap bola sepak di negara apabila penonton dilihat seakan mahu menghukum pemimpin dalam sukan bola sepak seperti yang berlaku sebelum ini.

“Mungkin penonton sudah bosan dengan pelbagai drama yang wujud dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang suka-suka menukar pemimpin dan dasar untuk kepentingan pihak tertentu. Tiada keputusan besar kepada mutu bola sepak negara,” katanya.

Terdahulu, Sukan NSTP melaporkan kantung pasukan Liga M dijangka kempis susulan sambutan dingin penyokong terhadap perlawanan dilangsungkan sepanjang Ramadan.

Beberapa perlawanan yang sudah berlangsung setakat ini menyaksikan stadium agak lengang dengan jumlah penonton menurun lebih 50 peratus.

Disiarkan pada: May 27, 2018 @ 4:29pm
d