arena

Pilih presiden boleh diharap

Oleh Zulfaizan Mansor 

PERSATUAN Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) berharap semua ahli gabungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dapat memilih individu yang benar-benar mampu membawa kemajuan kepada bola sepak negara sebagai presiden baharu badan induk itu. 

Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail menjelaskan antara perkara penting yang perlu berada dalam perancangan Presiden FAM yang baharu adalah menitikberatkan aspek kebajikan pemain bola sepak di Malaysia.

Malah beliau turut tidak menafikan tiga calon untuk dipilih berada di kerusi panas itu termasuk Datuk Hamidin Mohd Amin, Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi mempunyai kelebihan tersendiri.

“Pastinya ketiga-tiga calon ini yang dipilih oleh ahli gabungan mempunyai kelebihan tersendiri dan sudah pasti mereka memiliki idea untuk membawa bola sepak Malaysia mengikut acuan mereka.

“Tapi saya berharap, walaupun apa saja idea dan perancangan yang mereka ada, sesiapa yang dipilih perlu menitikberatkan aspek seperti pembangunan bola sepak, kebajikan pemain dan jurulatih serta meningkatkan profesionalisme bola sepak negara. 

“Sekiranya individu itu faham mengenai semua perkara ini, saya percaya sesiapa yang dipilih akan mampu membawa bola sepak ke tahap tertinggi,” katanya selepas majlis ringkas Anugerah Pemain Terbaik Liga Super PFAM - asiana.my bagi edisi April 2018 di sini.

Sebelum ini, Hamidin yang juga Setiausaha Agung FAM dijangka menang tanpa bertanding selepas namanya dicadangkan sendiri oleh bekas Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selain turut mendapat pencalonan daripada 18 daripada 20 ahli gabungan.

Namun, Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) dan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) membuat kejutan pada saat akhir tarikh tutup pencalonan apabila masing-masing mencalonkan Annuar iaitu bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) dan Azim yang juga Pengerusi Institut Sukan Negara.

Bagaimanapun, Annuar dan Azim masih belum memberikan pengesahan sama ada akan menerima pencalonan mereka untuk bertanding merebut jawatan itu atau tidak dengan tarikh untuk membuat keputusan itu akan berakhir pada 14 Jun ini.

Kongres ke-54 FAM akan berlangsung pada 14 Julai ini dengan hanya jawatan presiden akan dipertandingkan selepas peletakan jawatan daripada Tunku Ismail pada April lalu.

 

 

Disiarkan pada: May 27, 2018 @ 6:38pm
d